Budaya dan Pembelajaran EDU 3063

PENGHARGAAN


Salam sejahtera. Sekalung penghargaan dan jutaan terima kasih saya rakamkan kepada Encik Mohd On bin Ahmad merupakan pensyarah yang banyak membantu dan sebagai pembimbing saya dalam melaksanakan tugasan kerja kursus Budaya dan Pembelajaran EDU 3063. Segala tunjuk ajar, bimbingan dan dorongan yang diberikan sepanjang tempoh saya di sini tidak saya lupakan. Saya juga ingin mengucapkan penghargaan kepada semua pensyarah di Jabatan Pendidikan Seni Visual yang turut serta memberikan ilmu baru dan pertolongan.

            Saya juga mengucapkan ribuan terima kasih kepada rakan-rakan sekelas yang telah membantu saya dan yang sanggup bersama saya dalam mencari bahan untuk melengkapkan untuk menyiapkan tugasan ini dengan cepat dan padat.

Terima kasih yang tidak terhingga kepada rakan-rakan yang sanggup bekerjasama bersama saya untuk menyiapkan tugasan ini terutamanya rakan kumpulan saya. Terima kasih kepada semua yang telah membantu sama ada secara langsung atau tidak langsung. Semoga Tuan dapat memaafkan saya jika terdapat cacat cela dalam proses menyiapkan tugasan saya.

Sekian, terima kasih.


Sosial adalah berkaitan dengan masyarakat dan kemasyarakatan. Manakala budaya didefinisikan sebagai hal-hal yang berkaitan dengan budi dan akal manusia. Perkataan ‘budaya’ berasal daripada bahasa Sanskrit iaitu ‘buddhayah’. Maka, ‘sosiobudaya’ pula diertikan sebagai hubungan masyarakat dengan budaya seperti cara hidup, adat istiadat sesuatu masyarakat dan sebagainya (Ganesan, n.d.).

Manakala, menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, sosiobudaya ialah hubungan masyarakat dengan masyarakat yang melibatkan cara hidup, adat istiadat. Sistem politik di Tanah Melayu juga dipengaruhi oleh corak sosiobudaya masyarakat Melayu Feudal menerusi antonomi dan kuasa antara sultan dan pembesar. Malaysia mengalami perkembangan pesat ekonomi khususnya yang membawa kepada terjadinya perkembangan dalam sosiobudaya masyarakat di Malaysia.

Justeru, pembinaan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) (2013-2025) merupakan komponen utama dalam memahami prestasi dan cabaran semasa pendidikan di Malaysia. Guru merupakan insan yang paling utama dalam menggalas tanggungjawab besar merealisasikan sebelas anjakan PPPM dengan menjadikan elemen Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) dan Falsafah Pendidikan Guru (FPG) sebagai panduan.
                                                                                      

Kepelbagaian budaya ialah di mana keadaan terdapat perbezaan dan kepelbagaian. Bahkan, kepelbagaian ini melibatkan kepelbagaian manusia daripada aspek perbezaan antara kaum atau budaya di dalam sesuatu kumpulan atau organisasi (Azizan Baharuddin, 2012).

Menurut kamus dewan edisi keempat pinggir bandar bermaksud kawasan di sekeliling kawasan bandar. Peningkatan keperluan untuk tempat tinggal dan kemudahan sosial menyebabkan kawasan bandar diperluaskan ke kawasan pinggir bandar (Rusidah Mohd Akil, 2008). Memandangkan kebanyakan penduduk bekerja di bandar mereka tertumpu  untuk tinggal di pinggir bandar tetapi masih bekerja di pusat bandar (Ag, 2009). Tempat tinggal menjadi tumpuan utama serta kos hidup yang tinggi menyebabkan pemilihan jenis rumah yang lebih berkemampuan seperti rumah flat.

Pada pandangan saya, kanak-kanak yang tinggal di kawasan perumahan ini mudah terpengaruh disebabkan aktiviti mereka tidak dipantau. Bahkan juga susah untuk kita lihat masyarakat pada masa kini untuk bertegur sapa sesama jiran. Hal ini mewujudkan jurang di antara kita untuk mengenali siapa yang tinggal bersebelahan dengan rumah kita.

Penempatan guru di pinggir bandar bukanlah satu halangan untuk menyampaikan ilmu. Berdasarkan senario tersebut saya tidak pernah menjejaki ke tempat tersebut dan mengalami situasi di mana mengajar di kawasan pinggir bandar. Pada pandangan saya penempatan guru adalah bertujuan untuk melatih guru yang boleh mengadaptasi pekerjaan di mana sahaja mereka ditempatkan. Selaras dengan anjakan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia yang kelima iaitu memastikan kepimpinan berprestasi tinggi ditempatkan di setiap sekolah kerana kualiti kepimpinan sesebuah sekolah amat diperlukan.

Walaupun berlainan kaum dan agama, sekiranya kita ditugaskan di sekolah bukan aliran sekolah kebangsaan seperti sekolah Cina mahupun Tamil, kita hendaklah menjalankan tugas dengan penuh dedikasi dan profesional kerana murid-murid di sekolah ini amat memerlukan tenaga pengajar seperti kita. Bahkan program 1 Malaysia yang bertujuan untuk memupuk persefahaman dan perpaduan antara kaum dapat dilaksanakan seperti Rancangan Intergrasi Murid Untuk Perpaduan (RIMUP), memperkenalkan Komponen Khidmat Komuniti dalam kokurikulum semua Sekolah Rendah, mengukuhkan penyediaan pendidikan bahasa dan penubuhan Sekolah Wawasan.

Bagi memastikan visi ini dapat direalisasikan, pembaharuan di sekolah baru hendaklah dilaksanakan secara berhemah dan bijaksana. Sekolah mempunyai peranan penting sebagai tapak untuk menyemai dan memupuk perpaduan antara kaum di peringkat sekolah. Sesuatu perubahan tidak dapat dilaksanakan secara serta merta ataupun drastik kerana terdapat sesetengah sekolah yang mempunyai acuan yang diatur oleh pentadbir sekolah. Walaupun kita baru ditempatkan di sekolah, kreativiti seseorang untuk membuat pembaharuan adalah amat diperlukan untuk meningkatkan prestasi sesebuah sekolah. Hal ini adalah bertujuan agar murid dapat belajar di sekolah yang mempunyai suasana pembelajaran yang efektif dan interaktif. Contohnya pembaharuan dari segi amalan 3S iaitu senyum, salam dan sapa. Hal ini secara tidak langsung akan mengurangkan jurang antara kaum, bahkan dapat mengeratkan lagi hubungan antara guru, murid, staf, ibu bapa dan masyarakat.

Suatu ciri keunikan di Malaysia ialah masyarakat yang terdiri daripada kepelbagaian kaum. Ini merupakan suatu cabaran yang perlu digalas oleh guru-guru bagi menyatupadukan masyarakat bermula seawal dari peringkat sekolah. Seperti sedia maklum, negara kita mempunyai pelbagai jenis masyarakat yang berlainan agama seperti Islam, Buddha, Kristian dan lain-lain serta kaum yang banyak seperti, Jawa, Bidayuh, Melanau, Iban dan pelbagai lagi.

Selaras dengan usaha kementerian berhasrat untuk menjana suatu sistem pendidikan yang memberi peluang kepada murid berkongsi pengalaman dan aspirasi demi menguatkan lagi asas perpaduan rakyat Malaysia. Isu utama dalam konteks kepelbagaian kaum ini antara lain ialah murid tidak bergaul sesama sendiri walaupun ditempatkan di kelas yang sama atas sebab perbezaan bahasa, agama dan warna kulit. Sekiranya hal ini dibiarkan berlarutan pastinya tembok pemisah antara kaum akan menebal. Natijahnya, guru sukar untuk menyemai semangat perpaduan sekiranya masalah ini tidak diatasi.

Selain daripada itu, masyarakat yang tinggal di pinggir bandar kebanyakannya datang dari pelbagai tempat di Malaysia. Hal ini kerana kawasan pinggir bandar merupakan kawasan yang paling terdekat untuk mengakses kawasan bandar. Selari dengan aspirasi sistem ekuiti iaitu menyediakan pendidikan yang terbaik kepada setiap kanak-kanak tanpa mengira kedudukan geografi, gender atau latar belakang sosioekonomi yang bertujuan untuk merapatkan jurang pencapaian murid walaupun berada di kawasan bandar dan luar bandar serta pencapaian antara gender.

Imigrasi daripada pelbagai tempat ke sebuah bandar berlaku atas sebab peluang pekerjaan selain menggubah taraf ekonomi sesebuah keluarga. Oleh yang demikian, pertembungan budaya dan bahasa menyebabkan lahirnya masyarakat. Kadangkala, sesetengah murid tidak dapat menerima pertuturan daripada warga pendidik di sekolah, rakan-rakan dan masyarakat setempat. Hal ini berlaku apabila di rumah ibu bapa masih lagi menuturkan dialek ataupun loghat masing-masing. Justeru itu, lahirnya latar belakang keluarga yang pelbagai sosioekonomi, agama dan etnik.

Dari segi ekonomi pula, kebanyakan ibu bapa dan keluarga masih berada di garis kemiskinan serta membuat dua pekerjaan, dapat dilihat bahawa setiap kaum menjalankan aktiviti ekonomi yang tertentu dan mendiami kawasan yang berlainan. Mereka tidak mempunyai pilihan lain, mungkin disebabkan taraf pendidikan yang tidak mampu memenuhi kriteria peluang pekerjaan dan gaji yang lebih lumayan. Kajian menunjukkan bahawa kebanyakan murid daripada keluarga miskin mempunyai pencapaian prestasi rendah berbanding dengan murid daripada keluarga berpendapatan pertengahan atau tinggi (Maszuria Binti Abdul Ghani, 2014). Hal ini disebabkan kos sara hidup yang tinggi terutamanya kawasan yang berdekatan dengan bandar. Ini didorong dengan faktor kurangnya perhatian daripada ibu bapa terhadap perkembangan dan prestasi anak-anak mereka di sekolah kerana kekangan masa untuk bekerja.   Oleh yang demikian, kanak-kanak ini lalai dan kurang memberi perhatian terhadap pendidikan mereka itu sendiri.

Manakala, disebabkan pendapatan gaji ibu bapa yang berada pada tahap garis kemiskinan, murid-murid ini mendapat bantuan Rancangan Pemakanan Tambahan (RMT) supaya murid ini mendapat nutrisi yang secukupnya. Hal ini merupakan usaha kerajaan dalam menambah baik sistem bantuan kepada pelajar miskin. Bantuan ini diberikan fokus kepada keluarga yang berpendapatan rendah khususnya. Bahkan, Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin (KWAPM) turut disediakan untuk mengurangkan beban kewangan persekolahan yang ditanggung oleh ibu bapa.

Selain daripada itu, bilangan anak dalam sesebuah keluarga juga mempengaruhi ekonomi sesebuah keluarga. Ini dapat dilihat apabila ibu bapa bekerja dan mempunyai anak masih kecil perlu dihantar ke rumah pengasuh mahupun taska, manakala bagi yang bersekolah pula dihantar ke sekolah pada sesi pagi dan kelas agama bagi kelas petang.

Latar belakang keluarga turut memberi kesan kepada perkembangan kanak-kanak. Memandangkan banyak masa kanak-kanak ini dihabiskan bersama dengan orang lain seperti guru, pengasuh dan kawan-kawan, hubungan ibu bapa semakin renggang. Kegagalan ibu bapa untuk mewujudkan persekitaran pembelajaran yang bagus bermula dari rumah. Ini didorong oleh faktor tahap pendidikan ibu bapa itu sendiri. Maka tidak hairanlah sering kali kerajaan menerapkan kempen membaca walaupun berada di mana-mana. Ibu bapa percaya dan menyerahkan sepenuhnya tanggungjawab untuk mendidik kepada insan yang bergelar guru. Sememangnya tugas mendidik merupakan tanggungjawab seorang guru, namun ianya perlu dibantu dengan perhatian berterusan daripada ibu bapa di rumah seperti latihan, mahupun ulang kaji.

Suami isteri yang bekerja dan tiada masa untuk anak-anak dan anak-anak tersebut dibiarkan untuk berdikari. Tanggungjawab dan perhatian seorang isteri dan ibu tidak dapat dilaksanakan seratus peratus akibat desakan kos sara hidup yang tinggi dan menyebabkan kaum ibu ini terpaksa bekerja demi membantu suami. Hal ini juga merupakan salah satu faktor mengapa terjadinya kes penceraian yang semakin meningkat. Ibu tunggal yang memikul tanggungjawab sebagai nakhoda dalam sebuah keluarga demi memastikan kebajikan anak-anak terjamin.

Walaupun negara kita menitikberatkan konsep 1 Malaysia, dapat dilihat lagi jurang antara kaum dari segi bahasa dan ekonomi. Ini disokong apabila kebanyakan murid menggunakan dialek masing-masing dan kurang berkemampuan berkomunikasi secara berkesan dalam bahasa Melayu mahupun Bahasa Inggeris selaras dengan dasar pendidikan Kebangsaan yang termaktub dalam Akta Pelajaran 1961. Hal ini menyebabkan mereka mengutamakan kaum dan dialek yang sama dalam memilih sahabat akhirnya mewujudkan polarisasi antara etnik. Natijahnya, di masa hadapan akan mewujudkan masalah yang lebih besar jika fahaman itu dijadikan pegangan dalam masyarakat.

Kesan secara langsung, guru juga menghadapi kesukaran untuk menyampaikan ilmu tersebut kepada murid-murid ini. Oleh yang demikian, dengan wujudnya kurikulum baharu Bahasa Malaysia yang dirangka khusus untuk mengajar murid pada tahun 2011 dapat dilaksanakan sokongan pemulihan yang intensif dengan kerjasama ibu bapa untuk mengikuti kelas peralihan.

Selain daripada itu, masalah kurang kemampuan berkomunikasi secara berkesan dalam Bahasa Melayu dan Inggeris berlaku di dalam bilik darjah disebabkan oleh beberapa faktor. Antaranya ialah, guru yang terdiri daripada pelbagai etnik yang ditempatkan di sekolah yang tujuan awalnya ialah untuk menggambarkan kepelbagaian populasi serta merapatkan jurang perbezaan etnik tidak dapat diterima oleh murid. Malahan, komunikasi dua hala antara guru dan murid sukar untuk difahami.

Guru merupakan insan yang bertanggungjawab untuk membantu murid dalam menangani permasalahan ini dengan cara mendekati murid, selain mencari jalan alternatif untuk berhubung dengan keluarga murid itu sendiri. Sekiranya murid tersebut memang murid yang berkeperluan khas jika masalah yang dilalui sangat kritikal. Bagi murid yang pemalu, mahupun tiada keyakinan tinggi, guru haruslah mempelbagaikan cara pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas, antaranya memberi tanggungjawab kepada murid tersebut untuk memegang jawatan seperti ketua kelas. Selain daripada itu, guru haruslah bersiap sedia untuk menerima dan mempelajari bahasa dan budaya sesuatu tempat. Sekiranya kita mempelajari dan mendekati ciri-ciri budaya, bahasa dan masyarakat di tempat kita ditugaskan pastinya penerimaan mereka akan jauh lebih baik.

Menyediakan kesamarataan akses kepada pendidikan berkualiti bertaraf antarabangsa selaras dengan pelan transformasi negara sekiranya membuat pelaburan supaya murid dapat memasuki bilik darjah yang mempunyai kelengkapan kemudahan dan peralatan untuk mewujudkan suasana yang kondusif. Infrastruktur yang kurang mencukupi dan tidak menarik semestinya mengganggu dan mencacatkan pandangan kita.

Asas dalam sesebuah bilik darjah hendaklah didapati mencukupi sebelum murid berada dalam kelas tersebut. Persekitaran pembelajaran yang efektif akan dapat mengembangkan pelbagai kecerdasan pelbagai (Multiple Intelligence) dan menggilap potensi individu yang berbeza-beza dari segi kebolehan, minat, kecerdasan dan kecekapan murid. Guru memainkan peranan penting dalam melaporkan kerosakan pada alatan mahupun kemudahan lain seperti pengudaraan dan kipas yang tidak berfungsi. Justeru, sebagai guru hendaklah bijak dalam mengatasi permasalahan ini. Guru hendaklah mencari jalan alternatif untuk meningkatkan keceriaan sesebuah bilik darjah itu.


Selaku seorang guru yang berdedikasi dan profesional, kita haruslah mengambil langkah-langkah penyesuaian yang bijak dalam menangani permasalahan ini. Antaranya ialah menerapkan elemen keagamaan, bahasa dan cara pembelajaran. Oleh yang demikian, guru hendaklah mengamalkan ajaran agama dengan baik untuk memastikan kekal berkualiti. Dalam mendidik para murid.

Seterusnya ialah melalui agama, agama adalah elemen terpenting dalam pembentukan sahsiah seseorang individu di mana setiap agama menganjurkan setiap pengikutnya membuat perkara yang baik. Justeru itu, pendidikan agama dan moral seharusnya dipandang berat untuk perpaduan dan memupuk persefahaman yang erat antara murid. Tanggungjawab Sebagai guru hendaklah menerapkan nilai-nilai murni di dalam setiap diri muridnya agar dapat menerima dan menghormati agama dan budaya kaum lain.

 Bahkan, walaupun status yang berlainan, itu bukan bermaksud bahawa murid-murid ini tidak boleh duduk dan berkawan bersama, guru harus bertindak sebagai pemangkin untuk membudayakan situasi ini dalam kalangan murid. Terdapat pelbagai nilai-nilai murni yang diterapkan dalam Islam, antaranya ialah menghormati guru. Saya percaya bahawa amalan menghormati guru ini menyebabkan murid-murid ini lebih patuh bahkan guru-guru mudah untuk mengawal kelas. Selain daripada itu, amalan menepati masa dituntut oleh agama.  Amalan ini penting untuk memastikan murid-murid ini berdisiplin apabila berada di sekolah mahupun di alam pekerjaan kelak.

Amalan penjagaan kebersihan juga dituntut dalam agama Islam menganjurkan pengikutnya sentiasa bersih dari segi luaran serta dalaman. Sebagai guru hendaklah menunjukkan personaliti yang kemas dari segi pakaian mahupun pertuturan. Dalam proses perkembangan awal kanak-kanak, guru merupakan contoh yang paling dekat oleh murid. Murid. Justeru, secara tidak langsung, guru harus menampilkan sahsiah diri yang baik, bersih, kemas dan bertatasusila.

Oleh itu guru juga berperanan untuk menerapkan nilai-nilai positif dalam kalangan murid. Guru boleh memberi motivasi kepada murid sebelum memulakan sesi PdP . Secara tidak langsung guru dapat meningkatkan disiplin murid dalam penjagaan bilik darjah. Contohnya, guru boleh mengamalkan pendekatan koperatif berasaskan konsep di mana murid-murid belajar secara kumpulan dan berbincang secara koperatif. Dalam kaedah ini, murid-murid dapat berinteraksi dan saling membantu dalam aktiviti pembelajaran. Salah satu nilai murni yang harus diterapkan dan dikongsi ialah memupuk semangat bekerjasama. Ini kita dapat lihat pelajar-pelajar cemerlang mereka mengulang kaji pelajaran bersama-sama. Di sini mereka dapat bertukar-tukar pandangan mahupun berkongsi idea-idea bernas selain dapat meningkatkan suasana pembelajaran.

Banyak kajian mendapati faktor pemakanan mempengaruhi tumbesaran dan perkembangan otak. Di dalam Islam pula, makanan membentuk sahsiah seseorang individu. Itulah peranan yang di tuntut oleh kebanyakan agama yang dianuti. Contoh yang paling dekat dengan diri saya ialah agama saya sendiri iaitu kepentingan memakan makanan yang halal. Islam menganjurkan penganutnya mengamalkan sistem pemakanan yang halal, berkat dan berkhasiat ada kaitannya dengan perangai dan tingkah manusia contohnya memakan kismis. Kajian sarjana barat mendapati kismis mengandungi yang bernama boron yang merupakan mineral penting fungsi otak yang baik. Boron mampu meningkatkan penumpuan, koordinasi tangan dan mata serta meningkatkan memori.

Selain itu, boron juga membantu menggalakkan fungsi mineral penting seperti kalsium dan magnesium (Anugerah, 2013). Bahkan, di dalam Islam pula kismis sememangnya sinonim dengan pelajar-pelajar tahfiz dan pondok. Ini kerana sudah sekian lama, ulama-ulama terdahulu sudah mengetahui kebaikan kismis ini kerana ia baik untuk hafalan dan kecerdasan minda. Makanan yang halal dapat menjana kekuatan jiwa manusia, juga dapat mempertingkatkan produktiviti seseorang (Utusan Melayu, 2008).

Dalam pemerhatian saya dapat dilihat ialah, sebagai guru orang yang rapat dengan murid ini, saya boleh mencadangkan kepada Persatuan Ibu Bapa dan Guru supaya menyediakan makanan yang berkhasiat. Tidak seharusnya hanya bergantung pada pemberian susu pada hari tertentu sahaja. Jika kita boleh lihat, sebagai contoh negara luar yang mengamalkan pemakanan yang sihat telah melahirkan pelajar yang berjaya. Hal ini disebabkan pemakanan mereka yang dikawal rapi. Guru boleh mengusulkan cadangan kepada persatuan ibu bapa supaya membekalkan kismis bagi setiap kelas. Budaya sekolah saya dahulu ialah pihak sekolah akan membekalkan makanan yang berkhasiat seperti buah-buahan, kismis dan ubat vitamin setiap pagi sesi persekolahan.


Berdasarkan pemerhatian saya, saya dapati sekarang penggunaan Bahasa Melayu,  tidak digunakan secara tepat dan betul, ini dapat dilihat berlaku di media-media sosial sedikit sebanyak dapat mempengaruhi cara pertuturan berfikir, penulisan terhadap murid-murid sekolah. Seharusnya pihak berwajib lebih memandang serius akan hal ini dan diharap mereka dapat menyediakan satu mekanisme khas bagi menangani permasalahan ini.

Justeru itu, penggunaan bahasa dapat digunakan secara betul, memandangkan negara kita, Malaysia mempunyai pelbagai kaum dan agama yang menuturkan dialek yang berbeza. Untuk memastikan saya dapat menyesuaikan diri apabila mengajar di dalam bilik darjah yang mempunyai kepelbagaian budaya saya perlu mengambil inisiatif untuk mengatasi permasalahan ini. Walaupun saya datang dari sekolah di kawasan luar bandar iaitu Felda, namun bagi saya hal ini bukanlah sesuatu halangan yang besar. Kebanyakan staf-staf Felda merupakan masyarakat yang datang daripada pelbagai tempat.

Untuk membanteras permasalahan ini guru boleh menggunakan peraturan di dalam kelas, di mana murid hanya dibenarkan menggunakan bahasa Melayu sahaja di dalam subjek Pendidikan Bahasa Melayu dan memberi denda yang lebih bersifat akademik kepada murid yang melanggar peraturan. Bahkan turut boleh mewajibkan setiap hari mencari perkataan yang berbeza dan mencari maksudnya di dalam kamus mahupun mengakses Internet. Lama -kelamaan murid ini dapat mempelajari dan meningkatkan pengetahuan mereka.

Jurang yang berlaku akibat daripada penggunaan bahasa dialek haruslah dielakkan sebagai guru. Guru hendaklah menetapkan syarat penggunaan bahasa yang standard untuk memberi peluang yang sama rata kepada murid untuk mengambil bahagian dalam aktiviti pembelajaran di dalam bilik darjah khususnya. Satu perkara yang saya perhatikan, kita semakin melupakan khazanah budaya kita seperti, berpantun, bersajak, bersyair, berpuisi dan bergurindam seperti yang diamalkan oleh masyarakat terdahulu. Oleh itu, keindahan bahasa kita sendiri kian dilupakan walhal bahasa Melayu pernah menjadi bahasa lingua franca sewaktu zaman pemerintahan kesultanan Melayu Melaka. Oleh yang demikian, saya mendapati tiada permasalahan untuk menguasai sesuatu bidang dengan penggunaan bahasa Melayu.



Infrastruktur sesebuah sekolah memainkan peranan dalam mewujudkan suasana pembelajaran yang selesa untuk murid-murid. Seperti yang kita ketahui keceriaan sesebuah kelas tidak bergantung pada guru sahaja. Sekolah saya telah mengadakan pertandingan keceriaan kelas setiap minggu, justeru saya dan ahli kelas berusaha untuk menceriakan kelas dengan memberi idea masing-masing dengan bantuan guru kelas. Hal ini sebenarnya memupuk nilai murni seperti bekerjasama, tolong menolong dan hormat menghormati di antara satu sama lain. Budaya seperti ini harus diterapkan di semua sekolah supaya timbul rasa sayang akan kelas masing-masing.

Bagi memastikan sistem pendidikan yang berkesan, penyediaan infrastruktur yang kondusif dan interaktif, guru hendaklah berfikir secara kreatif dan kritis dalam penyampaian walaupun  berada di mana-mana sahaja. Contohnya menghasilkan bahan bantu mengajar yang membantu murid dalam mata pelajaran. Memandangkan perkembangan teknologi moden yang semakin canggih, guru juga boleh mempelbagaikan teknik dan cara pengajaran yang interaktif daripada menggunakan cara lama iaitu hanya berpandukan buku. Bahkan guru juga turut boleh mengadakan minggu bahasa contohnya dengan meletakkan buku mahupun komputer di dalam setiap kelas supaya murid mudah mengakses selaras dengan ayat “dunia di hujung jari”

Susun atur bilik darjah yang baik mestilah mempunyai peralatan asas iaitu papan hitam, papan kenyataan, dan ruang yang selesa, meja dan kerusi untuk guru dan murid, almari, yang di hiasi dengan penyediaan bahan-bahan bacaan, dan bahan bantuan mengajar serta peralatan sokongan serta dihiasi dengan keceriaan dan kebersihan. Susunan meja dan kerusi dalam bilik darjah sebaik-baiknya memberi kemudahan kepada murid-murid mengadakan aktiviti pembelajaran berpusatkan murid dan aktiviti berkumpulan. Susun atur suasana fizikal memainkan peranan penting dan guru perlu lebih kreatif untuk penambahbaikan daya tarikan dalam sesebuah bilik darjah tersebut.

Selain itu, cahaya yang mencukupi dan pintu dan tingkap yang terbuka yang membolehkan pengedaran udara yang secukupnya. Papan kenyataan yang dilengkapi dengan jadual waktu, jadual bertugas, carta organisasi, pelan keselamatan, sudut mata pelajaran, sudut bacaan atau rujukan, kata-kata motivasi, termasuk kemudahan penggunaan laman web, komputer dan CD dan LCD sehingga melahirkan pembudayaan bilik darjah yang kondusif.

 Malahan, guru boleh menggunakan ruang aktiviti dan permainan untuk menggalakkan murid bergiat aktif dalam pembelajaran sambil berseronok dengan permainan yang di ajar oleh guru. Ini dapat mengeratkan hubungan di antara guru dan murid kerana guru berjaya membuatkan murid berasa gembira ketika belajar dan akan menaikkan semangat mereka untuk datang ke kelas dan belajar.

Guru berperanan sebagai pengurus dalam bilik darjah dengan mewujudkan bilik darjah yang kondusif dengan memasukkan faktor-faktor fizikal, sosial, emosi, dan teknikal demi meningkatkan keberkesanan proses pengajaran dan pembelajaran sehingga ke peringkat optimum. Akhir sekali, guru harus menitikberatkan susunan bilik darjah kerana bilik darjah yang susun aturnya kemas dan teratur akan menimbulkan keseronokan di kalangan murid-murid.
  

Sebagai guru, dalam menyesuaikan diri dalam bilik darjah yang mengandungi kepelbagaian sosiobudaya ialah memberi pendedahan kepada murid-murid ini kerana sekolah merupakan tempat paling awal murid in belajar serta mengetahui adat resam, budaya dan agama rakan-rakan daripada kaum lain. 

Justeru, sebagai guru yang berdedikasi dan di sukai murid, guru hendaklah bijak memainkan peranan sebagai pengurus dalam bilik darjah dengan mewujudkan bilik darjah yang kondusif dengan menitikberatkan cadangan yang diberi. Oleh yang demikian, pembelajaran akan berlangsung dengan sempurna, sekali gus dapat meningkatkan prestasi di kalangan guru dan murid.
           

RUJUKAN


Ag, M. (2009, Julai 24). Transformasi Desa dan Pembandaran. Didapatkan dari Dunia Perlu Sempadan: http://rakangeografi.blogspot.com/
Anugerah. (4 September, 2013). 8 Manfaat Kismis Yang Baik untuk Kesihatan Anda. Retrieved from Anugerah Quran Hasil Kejaiban Al-Quran: www.anugerahquran.com/blog/8-manfaat-kismis-yang-baik-untuk-kesihatan-anda
Azizan Baharuddin, Z. A. (2012, Februari 28). Pengenalan Ilmu Ketamadunan (Tamadun Islam dan Asia). Didapatkan dari Chocolate Bite: http://cwanrzzwt.blogspot.com/2012/02/pengenalan-ilmu-ketamadunan-tamadun.html
Ganesan, L. (t.t). SOSIOBUDAYA MASYARAKAT MELAYU. Didapatkan dari Laman Web Rasmi Jabatan Penerangan Malaysia: http://pmr.penerangan.gov.my/index.php/component/content/article/322-kebudayaan-di-malaysia/10151-sosiobudaya-masyarakat-melayu.html
Maszuria Binti Abdul Ghani, S. b. (2014). Isu dan Cabaran Pendidikan Semasa. Dalam A. K. Uzir, Guru & Cabaran Semasa (hlm. 41). Kuala Lumpur: Freemind Horizons Sdn. Bhd.
Pustaka, D. B. (201, Februari 10). Laman Web Rasmi Dewan Bahasa dan Pustaka. Didapatkan dari http://prpm.dbp.gov.my/Search.aspx?k=SOSIOBUDAYA
Pustaka, D. B. (2011, Disember). Laporan Ringkas Penggunaan Bahasa Melayu Dalam Media Penyiaran. Didapatkan dari Pusat Rujukan Persuratan Melayu: http://prpm.dbp.gov.my/pdf/Kajian_Tahap_BM_dlm_Media_TV.pdf
Rusidah Mohd Akil, W. N. (2008). Pembandaran di Malaysia. Dalam H. Mansor, PMR GEOGRAFI (hlm. 276). Shah Alam, Selangor Darul Ehsan: Arah Pendidikan Sdn Bhd.
Utusan Melayu. (2008, Julai 12). Bicara Agama. Didapatkan dari Utasan Online: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0718&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_01.htm



Terbaru Lebih lama