DOMAIN TAKSONOMI

Taksonomi ialah kajian tentang prinsip, peraturan, dan amalan dalam pengelasan organisma berdasarkan persamaan dan perbezaan sifat organisma itu. (Kamus Dewan, 2005)

DOMAIN TAKSONOMI BLOOM

Domain Taksonomi Bloom pertama kali disusun oleh Benjamin S. Bloom Pada tahun 1956 dan kemudiannya barulah terhasilnya Domain Krathwhohl. Sesungguhnya taksonomi Bloom ini menekankan kepada tiga aspek iaitu kognitif, afektif serta psikomotor. Ia bercorak hierarki (tahap rendah ke tahap tinggi). Taksonomi di dalam konsep ini bermaksud cabang kognitif iaitu elemen yang melibatkan otak dan pemikiran manusia. Guru akan membuat soalan pelbagai aras untuk menguji tahap berfikir pelajar (Sujana, 2007). Kebanyakan ujian di dalam bilik darjah adalah bertujuan untuk mengetahui tahap kognitif pelajar sahaja.




           












Domain kognitif ini melibatkan perilaku-perilaku yang menekankan aspek intelektual seperti pengetahuan, pengertian dan keterampilan seseorang individu itu berfikir. Beralih pula kepada domain afektif yang melibatkan aspek perasaan dan emosi, seperti minat, sikap, apresiasi dan cara penyesuaian diri yang sukar diukur dengan mata kasar. Manakala domain psikomotor lebih menjurus kepada aspek kemahiran motor seperti tulisan tangan, berenang, berjalan dan mengoperasi sesuatu alat mahupun mesin (Rahayu, 2009). Justeru taksonomi Bloom ini merupakan satu medan untuk membina kebolehan, pemikiran dan pemahaman seseorang individu dengan lebih mendalam lagi di dalam taksonomi Bloom terdapat enam tahap yang terdiri daripada dua domain iaitu pengetahuan dan kemampuan dan keterampilan intelektual.

Bagi tahap yang pertama iaitu pengetahuan. Tahap ini menjurus kepada mengingat kembali, mengenal idea, fakta asas, definisi, teori, hukum, tarikh, peristiwa dan lain-lain daripada pembelajaran lepas. Istilah atau kata tugas yang digunakan dalam soalan ialah menyatakan, menerangkan, menamakan dan melabelkan. Elemen pertama adalah aras pengetahuan iaitu aras taksonomi yang paling rendah. Aras ini menguji sejauh mana keupayaan pelajar untuk mengingat kembali fakta atau pengetahuan yang telah dipelajari.

 Terdapat tiga peringkat dalam aras pengetahuan ini iaitu yang pertama pengetahuan fakta khusus berkaitan dengan istilah berbentuk perkataan atau simbol. Aras yang kedua adalah pengetahuan tentang proses, aliran, pemeringkatan, penjenisan, teknik atau prosedur tertentu dalam menyelesaikan masalah. Dan aras yang ketiga adalah pengetahuan tentang perkara yang bersifat sejagat dan abstrak dalam sesuatu bidang contohnya seperti siapa, apa, di mana, bila dan beri. Ciri-ciri khusus soalan aras pengetahuan ini ialah murid perlu menggunakan proses mental untuk mengingat semula apa yang telah dipelajari seperti istilah, fakta, prinsip dan prosedur bergantung kepada apa yang telah diajar oleh guru di dalam kelas.
Elemen yang kedua ialah aras kefahaman. Aras ini memerlukan keupayaan murid memberi huraian atau makna sesuatu perkara. Aras kefahaman ini terbahagi kepada tiga iaitu yang pertama penterjemahan yang memerlukan murid menterjemah bahasa lain ke bahasa lain tanpa menggubah makna asal. Yang kedua adalah mentafsir atau interpretasi iaitu mentafsir idea dan menerangkan idea atau maksud tersurat dalam ayat sendiri. Manakala yang ketiga adalah ekstrapolasi iaitu membuat inferens tentang apa yang akan berlaku pada masa hadapan berdasarkan maklumat yang diberi.

Ciri-ciri soalan bagi aras kefahaman adalah seperti membuat interpretasi mudah dan menunjukkan bukti kefahaman dan dapat menggunakan ayat dan maklumat untuk diubah kepada bentuk yang baru. Perkataan yang sering digunakan dalam soalan bagi aras kefahaman ini adalah seperti jelaskan, huraikan, terangkan, mengapakah, bezakan, nyatakan dan kelaskan.
Manakala pada tahap ketiga iaitu aplikasi ialah menggunakan maklumat dalam situasi yang baru, termasuk menyelesaikan masalah menggunakan prinsip, kaedah, hukum, teori, prosedur,konsep dan formula. Membina graf daripada data dan lain-lain. Aras ini memerlukan murid benar-benar memahami segala konsep, teori, hukum untuk menyelesaikan masalah. Soalan aras aplikasi biasanya memerlukan penggunaan proses aplikasi mental. Soalan aras ini biasanya melibatkan tiga frasa. Perkataan yang sering digunakan dalam soalan bagi aras ini adalah seperti selesaikan, tunjukkan dan susunkan.
Elemen yang berikutnya adalah aras analisis. Aras ini mengehendaki murid untuk memecahkan sesuatu perkara kepada unsur-unsur kecil dan memperlihatkan pertalian antara unsur-unsur. Aras ini menekankan keupayaan pelajar mengenal pasti unsur – unsur dan struktur. Jenis-jenis aras analisis adalah yang pertama aras analisis unsur iaitu memerlukan murid menentukan unsur-unsur. Murid juga perlu mencari bukti untuk menyokong unsur yang sedia ada. Aras kedua adalah analisis hubungan iaitu membuat perkaitan bukti dan hipotesis. Dan yang ketiga adalah aras analisis prinsip iaitu murid perlu mengenal pasti prinsip sesuatu organisasi yang digunakan untuk menghasilkan sesuatu dengan menganalisis tujuan, pandangan dan pendirian. Ciri-ciri soalan aras analisis ialah soalan tersebut menggunakan proses mental analisis dan memerlukan pemahaman perhubungan khasnya dengan memecahkan kepada komponen dan melihat perkaitan antara komponen.

Elemen yang kelima adalah aras sintesis. Aras ini memerlukan keupayaan murid untuk menggabungkan sesuatu struktur yang lebih jelas. Kategori soalan bagi aras sintesis ini penghasilan satu komunikasi unik iaitu pembinaan suatu komunikasi di mana murid cuba menyampaikan suatu idea, perasaan atau pengalaman kepada orang lain.
Contohnya kebolehan menulis dengan susunan dan gaya yang menarik untuk menyampaikan buah fikiran. Kategori yang kedua adalah penghasilan suatu rancangan atau pelan operasi dan yang ketiga adalah kategori membina suatu hubungan yang abstrak. Ia melibatkan kebolehan membina atau membangunkan set hubungan yang abstrak seperti teori, hipotesis untuk menghuraikan sesuatu fenomena atau mengklasifikasikan fakta. Contohnya, kebolehan membuat deduksi berdasarkan maklumat yang diberikan dan dapat membuat suatu teori daripada data atau faktor yang diberi.
Elemen yang terakhir adalah aras penilaian. Aras ini menguji keupayaan murid menilai sesuatu perkara berasaskan kriteria yang perlu diketahui. Murid perlu membuat pertimbangan tentang nilai sesuatu idea hasil kerja penyelesaian bahan, sesuatu idea atau sebagainya. Pertimbangan dibuat dengan piawaian tertentu seperti tepat, berkesan, memuaskan, baik, buruk dan lain-lain. Ciri-ciri khusus aras penilaian ini adalah murid perlu membuat pertimbangan nilai ke atas sesuatu bahan, idea, kaedah bagi sesuatu tujuan. Membuat penelitian dan pertimbangkan sejauh mana sesuatu bahan atau kaedah memenuhi sesuatu kriteria. Pertimbangan dalam penilaian juga dikategorikan kepada dua iaitu pertimbangan dari segi bukti dalaman iaitu menilai ketepatan sesuatu, menggunakan bukti-bukti logik, ketekalan dan lain-lain. Contoh kebolehan menunjukkan kesilapan-kesilapan dari segi logik dalam sesuatu hujah yang dikemukakan oleh seseorang. Kategori kedua adalah pertimbangan dari segi kriteria luaran iaitu penilaian bahan yang merujuk kepada beberapa kriteria yang dipilih atau yang diingati. Contohnya perbandingan mengenai teori-teori utama, generalisasi dan fakta mengenai kebudayaan tertentu.
           
Kesimpulannya Taksonomi dalam pendidikan dibahagikan kepada 3 domain. Domain kognitif ini mengandungi enam elemen yang terdiri daripada dua aras iaitu aras pemikiran mudah dan aras pemikiran tinggi. Elemen tersebut adalah pengetahuan, pemahaman, aplikasi, analisis, sintesis dan penilaian. Elemen ini disusun secara menaik mengikut aras pemikiran iaitu dari aras mudah kepada aras pemikiran tinggi dalam susunan piramid.

TAKSONOMI DOMAIN KRATHWOHL

Taksonomi Krathwhohl termasuk di dalam domain afektif yang meliputi emosi, sikap, dan nilai murid. Pengasas bagi taksonomi ini adalah David R. Krathwhohl.  Taksonomi ini merupakan bidang yang berhubung dengan perasaan, emosi dan sikap. Oleh yang demikian guru harus berkebolehan menggunakan unsur afektif untuk mewujudkan satu sauna pembelajaran yang baik. Hal ini akan melahirkan murid yang dapat membentuk sikap positif.

Aras yang pertama iaitu penerimaan. Guru berhubung dengan kemahuan pelajar untuk memberi perhatian. Tindakan pelajar mencerminkan satu kesedaran atau perhatian terhadap rangsangan dan peristiwa atau persekitaran yang berhubung dengan domain afektif. Konteks pengajaran menekankan kepada kebolehan mendengar, menanyakan soalan, mengenal bahagian-bahagian ayat dan menjawab dengan lengkap. Terdapat tiga perkara penting iaitu kesedaran, kesudian untuk menerima dan perhatian yang terkawal atau terpilih.

Manakala aras kedua ialah gerak balas menjurus kepada membentuk sesuatu sistem nilai. Apabila lebih daripada satu nilai dinuranikan maka membolehkan beberapa nilai digunakan. Pelajar terpaksa membina beberapa hubungan dan keutamaan di antara nilai-nilainya untuk mewujudkan kepercayaan.

Ketiga ialah menilai perlakuan adalah didasarkan atas konsep dan prinsip yang telah dinuranikan sehingga menjadi kepercayaan. Perlakuan cenderung menjadi konsisten walaupun dalam keadaan yang berbeza jika kepercayaan itu boleh dipratikkan.

Keempat ialah organisasi yang membawa maksud membentuk sesuatu sistem nilai. Apabila lebih daripada satu nilai dinuranikan maka membolehkan beberapa nilai digunakan. Pelajar terpaksa membina beberapa hubungan dan keutamaan di antara nilai-nilainya.

RUJUKAN



Kamus Dewan. (2005). Taksonomi.
Malaysia, K. P. (n.d.). Panduan Perkembangan Pembelajaran Murid Bahasa Melayu Sekolah Kebangsaan Tahun 3.
Nor Azizul bin Harun, S. H. (2015). Topikal Dokumen Standard Kurikulum dan Pentaksiran Tatabahasa Bahasa MAlaysia. Kuala Lumpur: Pustaka Seri Cahaya.
Rahayu. (2009, Julai 11). Taksonomi Bloom dan Domain Krathwohl. Didapatkan dari BMM 3103: http://pentaksiranbahasamelayu.blogspot.com/2009/07/taksonomi-bloom-dan-domain-krathwohl.html
Siti Sarah binti Abdul Malek, N. L. (2014). Bahasa Malaysia Tahun 5. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka Kuala Lumpur.
Sujana, D. (2007). Ilmu & Aplikasi Pendidikan. PT Imperial Bkhati Utama.



Terbaru Lebih lama