KEPENTINGAN PENDIDIKAN SENI VISUAL


1.0 KEPENTINGAN PENDIDIKAN SENI VISUAL

Kanak-kanak secara semula jadi menyukai seni. Malangnya, apabila sekolah mengurangkan belanjawan, seni biasanya adalah mata pelajaran yang pertama untuk dirombak. Ia seolah-olah bahawa sekolah-sekolah tidak menghargai kepentingan seni dalam membina otak kanak-kanak.

Secara fizikalnya, otak manusia terdiri daripada 2 bahagian, hemisfera kiri dan kanan. Otak kiri digunakan dalam proses pemikiran logik dan analisis iaitu apa yang dilatih dalam kerja-kerja sekolah yang terdiri daripada matematik, membaca dan sains. Otak kanan digunakan dalam persepsi, intuisi emosi, dan kreativiti. Ia adalah otak kanan yang digunakan terutamanya apabila seseorang itu terlibat dalam usaha kreatif seperti menghasilkan karya atau bahan seni. Namun, telah menjadi pemikiran tipikal sesetengah sekolah untuk mengabaikan pendidikan seni visual.

Ia menunjukkan bahawa apabila anak-anak berbakat menyelesaikan masalah, terdapat peningkatan aktiviti elektrik di kedua-dua hemisfera. Dengan merangsang dan menjalankan hemisfera kanan otak, seni mengukuhkan hubungan di antara hemisfera. Kanak-kanak perlu didedahkan kepada seni kemahiran kognitif supaya mereka matang serta otak kanan mereka akan dibangunkan dan kedua-dua hemisfera bekerja seiring, sekali gus mencapai sepenuhnya potensi minda.

Pendidikan seni visual merupakan suatu program pendidikan yang bersistem dan mempunyai matlamat serta hala tuju yang jelas. Terdapat banyak pendapat dan pandangan yang diutarakan mengenainya oleh para pemikir seni. Setiap tokoh-tokoh tersebut mengutarakan pandangan mengikut pendekatan masing-masing.
                                             
Pendidikan Seni Visual bertujuan memberi peluang kepada murid memupuk minat, memperkembang keperibadian, memberi kesedaran dan kepekaan terhadap nilai-nilai kesenian dan alam sekitar serta kaitannya dengan mata pelajaran lain. Murid di sekolah rendah pada keseluruhannya adalah kreatif, ekspresif dan aktif. Pendidikan Seni Visual memainkan peranan memperkembang sifat ini melalui persepsi visual, imaginasi dan daya pemikiran. Kegiatan pemikiran, penerokaan dan reka bentuk dalam pelbagai jenis seni visual akan membolehkan mereka menyatakan idea dan ekspresi diri. Pengalaman ini penting kerana ia membantu murid membina keyakinan diri, membuat penilaian dan mengenali cita rasanya sendiri.

Pendidikan Seni Visual sekolah rendah menyarankan strategi pembelajaran yang bersepadu dalam mata pelajaran ini dan antara mata pelajaran lain. Pengajaran dan pembelajaran akan lebih berkesan dengan aktiviti kemahiran berfikir secara kritis dan kreatif (KBKK). Murid digalakkan menyimpan rekod pengalaman pembelajaran dan hasil kerja sendiri. Amalan ini akan melatih murid membuat analisis, sintesis dan refleksi terhadap pembelajarannya untuk faedah sendiri. Pendidikan seni visual sekolah rendah Setiap murid mempunyai pelbagai kecerdasan seperti ruang visual, kinestetik, interpersonel dan intrapersonel. Sifat ini amat penting untuk membantu murid berkarya, berkomunikasi dan mengukuh koordinasi pancaindera secara seimbang. Proses ini menjadikan pembelajaran lebih berkesan dan bermakna.
Pendidikan seni visual mampu melahirkan insan yang harmonis, kritis, kreatif dan produktif menerusi pemupukan asas seni visual. Kandungan kurikulum berupaya membantu murid meningkatkan rasa kesyukuran terhadap Tuhan, menghargai keindahan alam persekitaran, keindahan seni dan warisan bangsa serta dapat menyumbang ke arah pembangunan diri, keluarga, masyarakat dan negara, selaras dengan hasrat Falsafah Pendidikan Kebangsaan.
Pengalaman seni ini adalah untuk memperkembang dan menyelaraskan persepsi dan konsepsi visual murid sebagai asas bagi menggalakkan pemikiran kritis dan kreatif. Pengalaman ini juga selaras dengan perkembangan peringkat kesediaan dan penerimaan murid dari segi sosioemosi, psikomotor dan mental yang merangkumi perasaan, koordinasi, manipulasi dan persepsi visual.
Dengan mempelajari Pendidikan Seni Visual di sekolah rendah, murid akan dapat menguasai beberapa pengetahuan dan kemahiran. Antara pengetahuan yang dapat dimiliki murid ialah pengetahuan mengenai bahan, alat dan teknik yang digunakan dalam sebarang kegiatan seni. Murid juga akan mendapat pengetahuan mengenai sumber motif dalam persekitaran, kraf tradisional, unsur seni dan prinsip rekaan dalam pendidikan seni visual, proses pembuatan hasil seni, menyimpan maklumat atau dokumentasi, mengintegrasikan maklumat dan aplikasi komputer dalam kerja seni visual. Sementara kemahiran yang akan diperolehi murid pula ialah kemahiran memanipulasi bahan, alat dan teknik, mengaplikasi disiplin seni visual, berfikir secara kritis dan kreatif, berkomunikasi secara berkesan, membuat pilihan, membuat interpretasi, menggunakan teknologi bahan dan perkakasan.
Organisasi kurikulum  merangkumi empat aspek utama yang dipentingkan iaitu:
a. pemerhatian secara aktif
b. interaksi yang kritis dan kreatif dengan alat dan bahan
c. apresiasi seni visual secara mudah
d. menghargai nilai baik dalam semua aspek kehidupan

Pemerhatian secara aktif yang merangkumi kesedaran pemerhatian keseluruhan, berfokus dan terperinci dapat menajamkan persepsi murid. Selain memperkembangkan deria penglihatan ia juga melibatkan pancaindera lain melalui kajian perbandingan. Kajian seperti ini membantu perkembangan emosi dan imaginasi. Pemahaman tentang asas seni visual juga turut diperkembangkan melalui kegiatan pemerhatian ini. Murid akan dilatih membuat pemerhatian terhadap objek alam dan objek buatan manusia. Ini adalah untuk membolehkan murid merasai secara konkrit bagi mendapatkan imej mental. Kegiatan-kegiatan ini akan membantu terus menyelaraskan idea, imaginasi dan alam fantasinya ke arah perkembangan kreatif dan pemikiran abstrak.

Interaksi yang kritis dan kreatif dengan alat dan bahan. Peringkat ini menggalakkan murid membuat penerokaan dan percubaan dalam mempelbagaikan kegiatan kreatif dengan menggunakan alat dan bahan. Proses ini akan memperkembangkan aspek psikomotor dan kemahiran asas seni visual berhubung dengan manipulasi alat dan bahan serta teknik-teknik mudah. Semasa berinteraksi dengan alat dan bahan, murid membuat interpretasi dan menyelaras konsepsi visualnya dengan objek yang dilihat. Proses pembelajaran ini amat penting kerana ia memberi peluang kepada murid belajar secara tidak langsung. Murid juga dapat mengenali perubahan yang mereka boleh lakukan dalam penghasilan seni di masa akan datang.

Apresiasi seni visual secara mudah. Apresiasi seni visual memberi pengalaman kepada murid mengenali aspek pengetahuan seni visual dan kegunaannya dalam pelbagai kegiatan kehidupan dari segi keindahan dan fungsi. Murid terlibat dalam kajian perbandingan dan menyatakan apa yang dilihat dari aspek seni melalui hasil kerja. Pernyataan tentang hasil kerja pula boleh dibuat dalam pendidikan seni visual sekolah rendah.

Menghargai nilai baik dalam semua aspek kehidupan. Selain diberi pengalaman membuat apresiasi seni visual secara mudah, murid juga dipupuk nilai menyayangi dan menghargai segala aspek yang wujud dalam persekitaran dan kehidupan mereka. Ini termasuklah memelihara dan memulihara alam sekitar, nilai patriotisme, nilai kebersihan dan kepekaan. Dengan ini murid akan dapat membuat pertimbangan yang sewajarnya bila berdepan dengan semua keadaan.

Selain itu, kepentingan Pendidikan Seni Visual juga boleh boleh dibahagikan kepada lima aspek, iaitu, aspek kognitif, fizikal, kreativiti, persepsi, serta sosial dan emosi. Dari segi aspek kognitif, penganjuran aktiviti seni visual yang tersusun dan terancang dapat melahirkan kanak-kanak yang mempunyai keupayaan menyelesaikan masalah serta mampu membuat penilaian dan bijak membuat keputusan.

Dari segi aspek fizikal, penggunaan alat dan bahan memberikan satu bentuk latihan berkesan kepada otot tangan (psychomotor) dan koordinasi tangan serta mata. Jika dilihat daripada aspek kreativiti, latihan dan projek yang bersifat terbuka dapat membantu murid untuk mengembangkan aspek kreativiti mereka. Aktiviti dan projek di dalam pendidikan seni visual mengutamakan proses, berbanding dengan hasilan akhir. Manakala, dari segi aspek persepsi, murid boleh mempertingkatkan dan menajamkan penggunaan pancaindera dan deria melalui proses penghasilan dan hasilan seni, produk dan objek yang terdapat di sekeliling mereka.

Dari segi aspek sosial dan emosi, murid boleh berinteraksi dan meningkatkan keupayaan bersosial selain meningkatkan keyakinan diri. Mata pelajaran pendidikan seni juga menganjurkan semangat bekerjasama di dalam aktiviti berkumpulan yang dibentuk.

Tambahan pula, seni lukis merupakan bentuk komunikasi awal kanak-kanak sebelum mereka berupaya untuk bertutur. Ianya dijadikan alat perhubungan yang berkesan untuk berinteraksi. Melukis juga merupakan aktiviti yang mampu memberikan kepuasan kepada kanak-kanak. Melalui lukisan, kanak-kanak dapat meluahkan perasaan dan emosi selain dapat membina kekuatan otot. Aktiviti sebegini juga dapat membantu menajamkan daya intuisi kanak-kanak.

Pendidikan seni visual dapat memberikan kepuasan kepada kanak-kanak dalam meluahkan apa yang dilihat lalu dipindahkan semula dalam bentuk dan rupa imej yang unik mengikut tahap pemahaman mereka. Melalui aktiviti melukis, kanak-kanak dapat meningkatkan daya sensitiviti pancaindera.
Pancaindera yang ada pada manusia seperti rasa, sentuhan, bau, penglihatan, pendengaran adalah fitrah yang Tuhan berikan kepada manusia. Pancainderan ini perlu disuburkan melalui sentuhan yang murni. Pengalaman seni memerlukan kepekaan terhadap pengamatan semasa penciptaan sesebuah karya seni, sebagai contoh semasa melukis, pelajar perlu memberi perhatian dan pengamatan kepada objek yang difokuskan, maka berlakulah pengamatan secara teliti.

Moholy Nagey menyatakan, satu cara untuk ilistrasi emosi adalah dengan menggunakan seni untuk merangsang dan menyatakan emosi itu. Sebenarnya melalui aktiviti-aktiviti seni kesan emosi terhadap diri pelajar ialah mereka akan merasakan kepuasan, lega, lapang perasaan, stabil emosi, dan ketengaan dari tekanan perasaan. Ini terbukti dengan membuat aktiviti melukis, kraf atau apa-apa kegiatan seni akan menimbulkan kesan kelegaan dengan meluahkan perasaan dalam hasil karya yang dibuat itu.

Pengajaran yang dilaksanakan dengan menggabungjalinkan pelbagai unsur seni dan berbeza dari kaedah pengajaran tradisional yang hanya menggunakan kapur dan papan tulis sebagai media dalam penyampaian maklumat dapat menjadikan murid berasa lebih seronok. Selain itu, murid akan berasa lebih selesa dan lebih mudah untuk memahami sesuatu tajuk yang diajar.

Secara semula jadi, kebanyakan aktiviti seni tidak dapat mengelakkan murid-murid daripada terlibat dalam kegiatan yang melibatkan kerjasama. Aktiviti berkelompok menuntut setiap individu bergerak dan berinteraksi secara bekerjasama untuk mencapai kejayaan bersama.

Pendidikan seni visual juga mampu memenuhi keperluan sosial yang asas. Murid-murid mahukan dirinya diterima sebagai anggota sebuah kelompok dan pada masa yang sama memerlukan kasih sayang. Dalam kegiatan seni, keperluan untuk belaian sekurang-kurangnya dipenuhi melalui pujian dan galakan yang diberi sebaik sahaja menghasilkan karya seni. Maka, terbentuklah satu situasi ideal yang dapat memenuhi kedua-dua matlamat sosial iaitu kemilikan dan keinginan diterima sebagai anggota kumpulan. Kanak-kanak juga akan merasakan bahawa guru dan rakan-rakan prihatin terhadap dirinya dan menghargai bakat yang dimiliki.

Mata pelajaran ini juga amat penting untuk luahan perasaan dan aras keyakinan yang tinggi. Kanak-kanak yang mempunyai keyakinan diri yang tinggi dapat melakukan aktiviti tanpa rasa segan atau bimbang mengenai pandangan orang lain terhadap dirinya. Guru juga boleh mendapat tahu perasaan sebenar murid melalui tingkah laku yang dipamerkan. Hal ini kerana, perasaan merupakan reaksi badan terhadap rangsangan yang diterima sama ada ia bersedia atau tidak. Di samping itu, perasaan juga mungkin dapat memberikan sumber manfaat dan kerugian kepada seseorang.

Menurut Laura Chapman, 1978, sifat semula jadi bagi seseorang kanak-kanak ialah memerlukan perhatian, belaian, sentuhan dan sebagainya. Tanpa kita sedari perkembangan seni tampak minda kanak-kanak berlaku dengan begitu pesat sekali. Sebelum meningkat remaja, kanak-kanak mengalami tiga tahap perkembangan seni tampak. Peringkat manipulatif sekitar umur 2 hingga 5 tahun. Peringkat melakar simbol-simbol berumur 5 hingga 9 tahun dan peringkat pra-remaja iaitu sekitar umur 10 tahun hingga 13 tahun. 

Berdasarkan kajian oleh ahli-ahli psikologi barat, perkembangan seni ini berlaku pada setiap kanak-kanak. Perbezaan mungkin timbul ialah berdasarkan factor persekitaran, bimbingan berterusan daripada keluarga atau latar belakang pendidikan. Melalui proses membentuk kreativiti dari diri kanak-kanak itu akan terbina dengan baik.

Apabila mencapai umur remaja sekitar 10 hingga 15 tahun, tahap penguasaan ilmu yang berkaitan dengan seni mungkin telah bertambah. Seseorang pelajar itu sudah mulai menunjukkan kecenderungan untuk mencipta sesuatu bentuk dengan lebih baik. Pada peringkat ini, sekiranya pelajar diberi kesempatan dan bimbingan yang betul mengenai seni, maka tahap kematangan kreativitinya akan berkembang. Menurut Lowenfeld dan Lambert (1965) pada peringkat ini merupakan peringkat yang paling konflik dan genting. Pelajar akan mengalami tekanan untuk memilih bidang seni sebagai satu bidang utama dalam proses membesar mereka. Persaingan dalam kalangan pelajar berlaku peringkat ini.

Pelajar yang lemah akan mengalami masalah yang dinyatakan tadi. Sekiranya dibimbing dan diberi penerangan yang betul, kemungkinan minatnya terhadap seni akan terkabur. Berbanding dengan pelajar yang diberi bimbingan atau nasihat yang positif. Mereka akan menjadi lebih berdisiplin, cekal dan berminat dengan subjek seni itu.

Seterusnya, subjek ini dapat melahirkan tenaga professional dalam pelbagai bidang. Sebagai sebuah negara yang sedang membangun, kita amat memerlukan ramai tenaga professional. Jurutera, arkitek, doktor, saintis dan penguam merupakan bidang kerjaya yang amat diperlukan oleh negara. Akibat kekurangan itu, kita terpaksa mengimport dari luar negara. Dalam bidang kerjaya, seni boleh memainkan peranan besar untuk membentuk generasi hari ini bagi memilih kerjaya yang sesuai dengan minat mereka. Selain untuk keperluan negara, pelajar yang memilih bidang ini boleh merancang untuk membentuk satu profesion baru. Menjadi seniman sepenuh masa contohnya. Walaupun negara kita masih baru dalam bidang ini, namun telah terdapat ramai artis yang mampu hidup mewah dengan menjadikan seni sebagai satu profesion sepenuh masa.

Seni visual memupuk dan mendidik sifat kecintaan pada seni dan estetika. negara perlu memikirkan satu kaedah yang berkesan bagaimana seni ini perlu dijadikan teras kepada pembentukan masyarakat. Seni boleh dijadikan satu formula membentuk masyarakat yang cinta kepada nilai-nilai keindahan. Pada hari ini melalui sebuah agensi kerajaan, kita melihat beberapa agenda penting disambut setiap tahun. Pelbagai aktiviti dan perayaan dianjurkan oleh kerajaan dengan pelbagai bentuk kebudayaan. Antaranya program Tahun Melawat Malaysia anjuran Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan. Selain daripada itu, ada pelbagai program lain yang dianjurkan bertujuan untuk menarik para pelancong. Program seperti ini wajar diadakan dan dipergiat lagi. Namun apa yang penting di sini ialah penglibatan masyarakat masih lagi tidak menyeluruh. Terutama sekali ialah kesan penghayatan masyarakat terhadap aktiviti yang dijalankan itu.

Pendidikan seni visual juga memupuk perasaan sayang pada seni dan warisan dalam masyarakat. Masyarakat kita memang kaya dengan khazanah warisan budaya. Sebut sahaja keperluan harian yang digunakan di rumah kita. Pinggan mangkuk, peralatan memasak, ukiran kayu, seni batik dan tenunan atau tekstil, hamparan tikar mengkuang atau pandan, anyaman kelarai, seni binaan rumah kayu atau kampung dan seterus seni budaya sopan santun dan adat istiadat.

Seni warisan ini sebenarnya semakin terpinggir dan hampir dilupakan. Tidak banyak lagi generasi hari ini yang mengamalkan menghulurkan tepak sirih apabila menyambut kedatangan tetamu. Kehidupan moden yang dialami hari ini telah melupuskan semua warisan itu. Seni itu wajar dipertahankan daripada hilang terus atau mengalami kepupusan. Terdapat banyak contoh yang boleh dijadikan rujukan. Seni kraftangan umpamanya seperti seni anyaman mengkuang dan seni anyaman kelerai. Seni tekat, tembikar dan banyak lagi contoh yang bileh diketengahkan. Boleh dikatakan kepentingan barangan kraf ini tidak lagi menjadi pilihan masyarakat kini.

Seni visual mampu melahirkan masyarakat yang memiliki jati diri. Budaya menunjukkan bangsa. Kata-kata ini jelas kepada kita bahawa sesebuah masyarakat itu mesti meletakkan kepentingan budaya pada satu kedudukan yang tinggi dalam masyarakatnya. Mengekalkan kebudayaan mereka supaya ia dikenali dan dihormati bukanlah satu tugas yang mudah. Kita boleh mengesan sesuatu bangsa melalui perkembangan budayanya. Ada yang berpendapat, mengenali sesuatu bangsa itu lebih mudah dari mengenali budayanya.

Masyarakat yang memiliki jati diri yang kuat akan berusaha untuk mengekalkan seni, budaya dan warisannya. Kita mestilah meletakkan tanggungjawab di bahu masyarakat akan kepentingan nilai seni dan estetika. Kefahaman dan tanggungjawab ini perlu dipupuk di peringkat awal lagi. Sekolah dan institusi pengajian tinggi merupakan tempat yang paling wajar. Peranan murid, guru atau pendidik, pensyarah, dan pihak kementerian pendidikan amat penting untuk merealisasikan perkara ini. Justeru, selain apa yang disebutkan tadi, semua masyarakat juga boleh memainkan peranan menjadi ahli atau individu yang ada kepentingan untuk menjadi warga yang dapat memberikan sumbangan ke arah cita-cita yang murni ini.

Selain daripada semua ini, kepentingan seni visual juga dapat dibahagikan kepada dua iaitu dari segi psikologi dan sosiologi. Peranan psikologi dilihat dari segi perkembangan dan pembentukan diri individu berdasarkan kepada perkembangan sensitiviti, emosi, kreativiti, dan ekspresi yang berlaku dalam diri individu melalui aktiviti seni visual.

Emosi bermaksud keupayaan melahirkan idea, rasa hati,membuat pertimbangan dan pernyataan diri. . Pembelajaran seni visual, aktiviti dan apresiasinya dapat membangkitkan perasaan dan memantapkan sensibiliti, mencorak perlakuan perasaan yang semulajadi seperti rasa cinta, prihatin atau rasa takut. Sensitiviti pula bermakna kepekaan dan kebolehan membuat pertimbangan dan persepsi dari segi sosial serta estetik. Oleh itu, kita dapat mewujudkan kebolehan untuk merasa dan menghayati.

Individu ini berupaya mengubah dan mentafsir semula sesuatu benda yang ada kepada penghasilan yang lebih menarik dikatakan kreatif. Individu ini sensitif kepada masalah di sekelilingnya, yang kemudiannya bertindak mencari jalan keluar dalam bentuk penghasilan. Penghasilannya yang dilakukannya adalah melalui daya kreatifnya berdasarkan keupayaan dan kehendaknya untuk mengubah sesuatu keadaan supaya lebih sempurna. Individu ini juga berupaya bertindak berdasarkan kebolehannya menyesuaikan sesuatu keadaan kepada sesuatu keadaan yang lebih baik. Pembelajaran seni visual, aktiviti dan apresiasinya dapat memantapkan keupayaan membuat dan merekacipta, menjadikan individu lebih imaginatif dalam pengkaryaan dan perekaan.

Ekspresi ialah tindakbalas emosi hasil daripada interaksi atau komunikasi dengan persekitaran, orang lain,masyarakat, peristiwa dan benda. Pendidikan seni visual dapat memantapkan pengucapan, curahan idea, gambaran pemikiran dan perasaan, menggambar, memberi makna menerusi perkataan, pergerakan, arahan dan simbol. Selain itu ia dapat memberikan kepada individu berkomunikasi idea, perasaan dan emosi.

Dari segi sosiologi pula seni visual berperanan membentuk dan mengembang budaya setempat dan sejagat. Hal ini dapat dibahagikan kepada lapan iaitu nasionalisme, persekitaraan, propaganda, ritual, spiritual, pengeluaran, pemujukan serta perniagaan dan perdagangan.

Pendidikan seni visual dapat membangkitkan semangat kebangsaan dan sayangkan negara. Sebagai contoh kita boleh lihat banyak hasil karya yang memaparkan unsur nasionalisme seperti Tugu Negara (arca) dan juga potret-potret pemimpin negara. Selain itu, ia juga dapat mengukuhkan kepekaan dan sesitiviti terhadap kepentingan sekeliling yang memberi kesan kepada kehidupan. Antara contohnya Rumah rakit – Kuala Lipis karya Peter Harris dan Waktu Pagi Di Kampung, karya Lai Foog Mooi, reka bentuk lanskap dan hiasan dalaman.

Tambahan pula, pendidikan seni visual juga merupakan saluran untuk menyampaikan dan menyebar idea, hasrat atau kepercayaan, pengaruh dan kuasa. Contohnya Poskad kepada Dunia, karya Awang Damit Ahmad. Poskad kepada dunia (199). Seni visual menyumbang dalam amalan ritual atau upacara sesuatu budaya dan adat resam dalam aktiviti kehidupan masyarakat. Kebanyakan hasil karya adalah berbentuk 3D atau arca. Contohnya Patung Jah Hut dan Mah Meri, yang menjadi patung penyembahan orang-orang asli di Pahang dan Selangor.

Dari segi spiritual pula, hasil karya yang dihasilkan adalah untuk kepuasan pelukis dari cetusan dalaman diri pelukis itu sendiri. Contohnya, Semangat Bumi, Air, dan Udara, karya Patrick Ng Kah Onn. Hasil seni visual adalah berasaskan kepada faktor cita rasa, gaya, fungsi dan kegunaan. Oleh hal yang demikian, kebanyakan hasil karya berunsur pengeluaran adalah bertujuan dikomersialkan. Contohnya penghasilan batik dan songket. Dari segi pemujukan pula, hasil seni visual berkeupayaan membentuk empati dan tarikan. Contoh-contohnya yang jelas ialah papan billboard dan poster. Pembelajaran seni visual dapat menghasilkan barangan yang sangat berpotensi untuk perniagaan dan perdagangan. Antara contoh yang jelas ialah bidang pembungkusan.


REFLEKSI

Pertama sekali syukur kepada Tuhan kerana akhirnya dapat juga saya menyiapkan kerja kursus ini. Semasa menjalankan tugasan ini, banyak pengalaman yang telah saya hadapi untuk menyiapkan tugasan dengan baik.

Sepanjang tempoh menyiapkan tugasan ini, saya telah bertungkus lumus mencari maklumat berkenaan tajuk yang telah diberi. Saya telah mencari bahan berkaitan tajuk ini melalui internet dan juga buku. Tugasan ini mengkehendaki kami untuk mencari dan menghuraikan kepentingan pendidikan seni visual kepada kanak-kanak.

Memandangkan tajuk yang diberi adalah senang untuk dicari maklumat, ini memudahkan kerja saya untuk menyelesaikannya dengan lebih cepat. Namun begitu, saya tetap bertanya tentang tugasan ini kepada rakan-rakan serta pensyarah saya iaitu,En.Manan bin Sarbani.

Melalui tugasan ini, saya telah mengetahui dengan lanjut tentang kepentingan pendidikan seni visual kepada kanak-kanak. Seni visual dapat memberi peluang kepada murid memupuk minat, memperkembang keperibadian, memberi kesedaran dan kepekaan terhadap nilai-nilai kesenian dan alam sekitar serta kaitannya dengan mata pelajaran lain.

Ia juga mampu melahirkan insan yang harmonis, kritis, kreatif dan produktif menerusi pemupukan asas seni visual. Selain itu, ia juga berperanan membentuk masyarakat yang cinta kepada nilai-nilai keindahan kerana seni itu dianggap cantik, murni dan berestetika.

Secara umum, seni berkaitan dengan hal-hal mengenai keindahan atau estetika yang merangkumi aspek-aspek jasmani dan kerohanian individu mahupun masyarakat. Seni ditakrifkan sebagai suatu ciptaan ataupun ekspresi akan sesuatu yang dianggap indah, terutamanya dalam bentuk visual. Seni dapat memenuhi keperluan-keperluan naluri estetik dan fizikal manusia yang dipengaruhi oleh faktor-faktor keagamaan, kebudayaan, ruang, masa dan keadaan yang tertentu. Seni memenuhi keperluan-keperluan naluri estetik dan fizikal manusia yang dipengaruhi oleh faktor-faktor keagamaan, kebudayaan, ruang, masa dan keadaan yang tertentu.

RUJUKAN

aidalie. (2011, jun 27). purnama merindu. Retrieved februari 26, 2012, from http://aidaliepurnamamerindu-aidalie.blogspot.com/2011/06/kepentingan-pendidikan-seni.html.
ghazali, h. m. (2005). siri teks referens pendidikan seni visual . selangor: pearson longman .
hassan.ghazali2. (2009, julai 24). scribd:kepentingan pendidikan seni visual. Retrieved februari 26, 2012, from http://www.scribd.com/doc/17640899/Kepentingan-Pendidikan-Seni-Visual.
miao. (2010, mei 25). slideshare:peranan seni dalam pendidikan. Retrieved februari 26, 2012, from http://www.slideshare.net/miao12345/peranan-seni-dalam-pendidikan.
multiply. (2008, august 29). Retrieved februari 26, 2012, from http://babasani.multiply.com/journal/item/95/KEPENTINGAN_SENI_VISUAL_DALAM_PENDIDIKAN_KANAK-KANAK?&show_interstitial=1&u=%2Fjournal%2Fitem.
sulaiman, a. (2009, mac 24). kepentingan pendidikan seni. Retrieved februari 26, 2012, from http://smktphpsv.wordpress.com/2009/03/24/pendidikan-seni-visual-di-sekolah/.
ya, c. (n.d.). chikya87 blogspot. Retrieved februari 26, 2012, from http://chikya87.blogspot.com/2010/04/kepentingan-kreativiti-dalam-pendidikan.html.
zulkifli. (2007, june 9). nota seni visual. Retrieved februari 27, 2012, from http://notasenivisual.blogspot.com/.




Terbaru Lebih lama