DBAE adalah ringkasan kepada “ Dicipline Based Art
Education “. DBAE ini diasaskan melalui
empat disiplin seni iaitu Disiplin Sejarah Seni, Disiplin Kritikan Seni, Disiplin Estetik Seni dan Penghasilan Karya atau Produk.
Disiplin Sejarah Seni
Disiplin ini memusatkan
pembelajaran mengenai artis dan sumbangan aktiviti seni terhadap
perkembangan peradaban seni serta
pengaruhnya terhadap tamadun dan budaya bangsa.
Terdapat beberapa aspek dan peringkat pembelajaran sejarah seni iaitu:
- Belajar tentang sejarah
perkembangan penghasilan seni dan peningkatan pencapaian nilai artistik
melalui sejarah pergerakan aliran gaya seni.
- Menganalisa karya-karya
seni masa lampau yang mendapat pengiktirafan masyarakat serta dapat
dijadikan sebagai bahan rujukan atau sumber pengetahuan dan pengalaman
bagi generasi masa kini dan akan datang.
- Menyelidik dan mengkaji
karya untuk mengesan asal-usul, kesan terhadap aliran seni dan artis serta
mencari makna serta pengertian.
- Mengukur dan menilai serta
memahami karya seni dalam konteks yang luas.
Disiplin Kritikan Seni
Seni terbentuk dari unsur-unsur
yang saling melengkapi dan digubah berlandaskan prinsip sehingga dapat
diiktiraf sebagai suatu hasil seni.
Disiplin kritikan seni menumpukan perhatian kepada penekanan kandungan
mengenai persepsi, deskripsi, analisa, interpretasi dan penilaian terhadap
sesebuah karya atau produk seni.
Pengalaman
mengenai disiplin ini akan dapat dicapai melalui aktiviti pemerhatian,
penganalisaan dan penilaian karya seni serta faktor-faktor yang berkaitan
dengannya. Pengetahuan mengenai disiplin ini juga boleh dihasilkan melalui
peningkatan kefahaman melalui pembacaan, penulisan, komentar yang sering
diperbincangkan atau diulas oleh pengkritik seni, artis, pemerhati seni,
budayawan dan sejarawan.
Terdapat 3
komponen asas dalam membuat kritikan iaitu apa (memerlukan persepsi dan deskripsi),
makna (analisis atau interpretasi) dan penilaian (pertimbangan dan penilaian).Kritikan
seni juga melibatkan aktiviti pengamatan dan pemerhatian yang teliti tentang
sesuatu karya seni. Ia merupakan
keupayaan pemerhati untuk menilai, membanding dan membeza antara karya dengan
mengambil kira pertimbangan terhadap semua aspek. Selain daripada itu ia
membicarakan tentang tindak balas dan persepsi orang lain atau audiens juga
masyarakat terhadap seni.
Disiplin Estetik
- Perbincangan mengenai
estetik memerlukan kefahaman dan penguasaan laras bahasa tampak. Perbincangan boleh melibatkan pelbagai
faktor dalam aspek antropologi, falsafah, sosiologi, psikologi dan sifat semula
jadi seni.
- Pelajar diminta
membicarakan definisi dan ciri-ciri signifikan mengenai seni melalui
disiplin ini.
- Disiplin ini membantu
pelajar membuat asas-asas penilaian sehingga mampu membuat pertimbangan
mengenai seni.
- Pengetahuan estetik
membantu pelajar membuat apresiasi tentang keindahan, keunikan atau
kesalahan yang wujud pada hasil seni melalui pelbagai pengalaman estetik.
Disiplin Penghasilan Produk
- Dalam disiplin penghasilan
produk seni ianya lebih menegaskan kepada tatacara, kaedah dan proses
menghasilkan karya atau produk seni.
- Disiplin ini memerlukan
pendidik menegaskan tentang penggunaan langkah-langkah artistik dan proses
kreativiti sebagai langkah penghasilan karya.
- Seni untuk pernyataan diri
(ekspresif) memerlukan pelajar melalui beberapa peringkat pembelajaran
kajian dan penerokaan untuk mewujudkan pengalaman iaitu:
·
pengalaman dan penyesuaian dengan menggunakan
pelbagai alatan, bahan, proses dan teknik.
·
Mempelajari dari pengalaman sejarah dan warisan
iaitu cara artis atau pandai tukang menggunakan alatan, bahan dan teknik
pembuatan serta sikap dan nilai budaya kerja mereka.
- Membina dan
memperkembangkan kualiti sahsiah yang diperlukan untuk mencapai kejayaan
seperti tekun, sabar, dedikasi, cermat, teratur serta berkeupayaan menilai
diri dari segi artis atau budaya.
- Belajar melahirkan
pernyataan diri akibat dorongan emosi, perasaan dan pemikiran melalui
bentuk-bentuk tampak.
- Memahami faktor-faktor
motivasi melalui peranan artis atau pandai tukang mengenai kehidupan serta
sumbangannya kepada masyarakat dan budaya.
- Menghargai sumbangan artis
dalam proses mempelajari dan mendapatkan pengalaman artistik iaitu kaedah
yang dapat mengaplikasikan asas seni reka dan organisasi rekaan bagi
menjana idea.