FALSAFAH PENDIDIKAN DI MALAYSIA

KURIKULUM STANDARD SEKOLAH RENDAH (KSSR)


1.0 PENGENALAN

Pendidikan di negara kita telah memberikan satu kemajuan yang membanggakan setiap tahun. Pelbagai inisiatif yang telah dilakukan oleh Kementerian Pendidikan negara. Jika dilihat dari mata kasar, ramai lagi yang terlepas pandang bahawa inisiatif yang terdahulu amat berkesan dan melahirkan ramai aset yang bertaraf dunia yang dapat mencabar negara-negara maju.

KSSR atau lebih dikenali dengan Kurikulum Standard Sekolah Rendah adalah kurikulum piawai yang telah diguna pakai bermula pada tahun 2011, iaitu pada tahun lepas bagi murid-murid Tahun 1, menggantikan KBSR Semakan 2003 yang mana PPSMI menjadi agen perubahan sistem pendidikan pada waktu itu.

Matlamat penubuhan Kurikulum Standard Sekolah Rendah ini adalah untuk mewujudkan  modal insan yang berkualiti iaitu mereka yang berpengetahuan dan berkemahiran, kreatif serta berinovatif. Selain itu, KSSR mensasarkan murid-murid mampu melepasi aras piawaian yang dikehendaki oleh sesebuah sekolah atau kerajaan. Pendidikan ini juga bertujuan untuk membolehkan murid menguasai kemahiran 4M iaitu membaca, menulis, mengira dan menaakul.

Mengikut Surat Pekeliling Ikhtisas bilangan 11 Tahun 2010 Kementerian Pelajaran Malaysia (rujuk di lampiran),Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) telah diterapkan di semua sekolah rendah di Malaysia bermula 4 Januari 2011, termasuklah Sabah. Oleh itu, kerajaan telah memanggil semua guru yang akan mengajar murid-murid Tahun 1 di seluruh Malaysia. Walaupun KSSR akan diimplementasikan di Tahun 1, namun sistem KBSR Semakan 2003 akan masih diteruskan untuk murid tahun dua hingga tahun enam tahun hadapan sehinggalah kemungkinan sekali pada akhir tahun 2015.

Guru-guru di sekolah akan terlibat secara langsung dengan adanya transformasi ini di mana guru-guru lebih aktif mengajar jika hendak dibandingkan dengan yang lepas. Dengan berpandukan arahan-arahan yang membina dan kerja buat yang efektif, guru-guru akan menghasilkan keputusan pelajar-pelajar mereka yang cemerlang.

2.0 ASPEK PERUBAHAN KURIKULUM STANDARD SEKOLAH RENDAH (KSSR)

2.1 Prinsip KSSR

Prinsip Kurikulum Standard Sekolah Rendah tidak banyak perubahannya dan ia selaras dengan prinsip-prinsip Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah. Antaranya ialah memberi pendekatan bersepadu kepada murid.

KSSR menekankan perkembangan individu secara menyeluruh iaitu meliputi semua aspek. Antaranya ialah dari segi fizikal, daya fikir yang kreatif dan inovatif, motivasi kendiri, kognitif murid-murid, sosial dan emosi dan moral mereka. Sebagaimana prinsip KBSR sebelumnya, kerajaan menekankan setiap guru memberi pendedahan bagi memastikan perkembangan murid terjamin bermula tahun 1 lagi. Sebagai contoh fokus utama 4M. Semua murid diajar kemahiran yang sama dan dalam pengajaran, tidak ada konsep pilih kasih daripada guru.

Selain itu, KSSR memberikan peluang dan kualiti pendidikan yang sama untuk semua murid. Hal ini dapat dilihat di mana pihak kerajaan tidak pernah menghadkan kemasukan murid-murid tahun 1 setiap tahun di mana-mana sekolah di negara kita. Dari segi pengajaran harian, murid diwajibkan untuk mengambil matapelajaran yang telah ditetapkan mengikut kaum dan usia. Mereka tidak diberikan pilihan untuk mengambil matapelajaran mana yang mereka sukakan.

Pendidikan seumur hidup kepada setiap murid pelbagai kaum adalah salah satu prinsip penting penubuhan KSSR iaitu berlandaskan prinsip asal KBSR. Di zaman serba moden ini, dunia Teknologi Maklumat dan Komunikasi ditambah ke dalam standard kandungan KSSR bagi memastikan murid-murid tidak tercicir dari arus perkembangan semasa. Lebih-lebih lagi, pendekatan yang holistik didedahkan kepada setiap pelajar supaya tidak terpesong dengan ajaran-ajaran yang salah melalui persekitaran mereka. 

2.2 Struktur Perubahan KSSR

            Struktur KSSR juga mengalami perubahan dari beberapa aspek. Antaranya ialah komunikasi. Komunikasi KSSR menekankan cara belajar dua hala di dalam kelas iaitu guru mengajar dan murid belajar secara lisan dan bukan lisan. Sebagai contoh, murid berjaya menghidupkan suasana pembelajaran di dalam kelas dengan pelbagai idea yang dibentang atau dicadangkan. Manakala, guru menyokong pendapat murid jika ianya bernas dan berkaitan dengan proses pengajaran dan pembelajaran pada hari itu.

            Selain itu, perubahan dari segi Sains dan Teknologi. Perubahan ini merupakan elemen penting dan penggerak dalam perubahan KSSR. Hal ini kerana KSSR ditubuhkan selari dengan pembangunan negara dan sistem pendidikan masa kini keseluruhannya hanya bergantung kepada sebuah alat canggih sahaja. Sebagai contoh, dunia di hujung jari iaitu penggunaan komputer dalam pembelajaran murid-murid di setiap sekolah. KSSR juga ditubuhkan bagi memastikan murid berkebolehan untuk menguasai ilmu pengetahuan matematik.

Perkembangan fizikal dan estetika murid juga berubah dan ini akan berterusan jika KSSR digerakkan sepenuhnya di setiap sekolah. Hal ini kerana bukan sahaja dunia Sains sahaja diberikan penekanan, malahan dunia kesenian juga diberikan perhatian oleh kerajaan. Perubahan ini akan meningkatkan daya imaginasi para pelajar dan akan memudahkan standard pengajaran seseorang guru.

Di samping itu, kehidupan seseorang murid tidak boleh terpisah dengan kerohanian, sikap dan nilai-nilai yang baik. Dari segi ini, murid diberi penghayatan amalan agama, kepercayaan, sikap dan nilai. Bukan sahaja di dalam kelas dan sekolah, malah nilai ini secara terusnya akan disebarkan dalam kalangan mereka sendiri semasa berinteraksi di luar.

Nilai kemanusiaan dapat dipupuk melalui penubuhan KSSR. Murid-murid dapat mempelajari persekitaran dan belajar untuk menjaga kepentingan alam sekeliling mereka. Akhir sekali, keterampilan diri murid-murid iaitu daripada aktiviti-aktiviti kurikulum dan kokurikulm dapat mendedahkan sahsiah pelajar.

2.3 Strategi Pengajaran & Pembelajaran (P&P)

Peranan strategi pengajaran dan pembelajaran adalah lebih penting lagi jika kita mengajar pelajar-pelajar yang berbeza dari segi kebolehan, pencapaian, kecenderungan serta minat yang berbeza-beza. Contohnya, dalam bilik darjah KSSR yang  terdiri daripada kumpulan lemah, kumpulan serdahana serta kumpulan kuat, memerlukan pelbagai kaedah mengajar yang dirancang secara teratur untuk membentuk strategi pengajaran yang berkesan.

Pentaksiran dijalankan secara berterusan untuk mengesan perkembangan dan pencapaian murid dalam pembelajaran mereka. Murid-murid selalu leka dan mempunyai daya fikir yang tersendiri dan mereka tidak boleh dikerah sesuka hati. Guru bijak bertindak jika dapat mengesan murid-murid yang keciciran dalam setiap sesi pengajarannya setiap hari. Oleh itu, pentaksiran yang berterusan amat penting untuk menilai murid-murid dari semasa ke semasa.

Guru-guru perlulah menggunakan pentaksiran yang pelbagai dan tidak hanya melakukan proses Pengajaran dan Pembelajaran di dalam kelas sahaja. Ini bertepatan dengan matlamat KSSR yang mensasarkan setiap guru menyediakan modul pengajaran semasa mengajar. Hal ini akan mengelak berlakunya kesulitan seseorang guru semasa mengajar. Jika guru hanya menggunakan buku teks sahaja di dalam kelas, mereka tidak akan dapat mengeluarkan murid-murid dari budaya lampau iaitu ketandusan ilmu-ilmu canggih seperti yang ada di zaman moden ini. Pelajar juga perlu di bawa keluar untuk mempelajari suasana yang baru walaupun sebentar sahaja masa yang perlu. Pentaksiran baru ini bersifat autentik dan holistik yang mana lebih bersifat kerohanian dan keagamaan. Mereka dapat didedahkan dengan nilai perpaduan dan kemasyarakatan.

Pembelajaran masteri juga adalah salah satu strategi pengajaran dan pembelajaran. Ia adalah satu pendekatan yang memastikan semua murid menguasai hasil pembelajaran yang dihasratkan dalam suatu unit pembelajaran sebelum beralih ke unit pembelajaran yang seterusnya. Pendekatan ini memerlukan usaha yang keras daripada tenaga pengajar iaitu guru dalam mengawal keadaan sesebuah kelas yang mereka ajar di mana proses pengajaran yang berkualiti. Guru-guru perlu menekankan dari pelbagai aspek seperti memastikan kebolehan dan keperluan murid kerana bakat setiap murid adalah berbeza. Selain itu, guru-guru perlu menekankan pembelajaran urid-murid dari segi kemahiran seperti menjalankan kuiz uji minda dan fizikal murid.

Selain itu, guru-guru perlu memperbaiki dan meningkatkan teknik pengajaran seperti penggunaan alat bantu mengajar atau ABM. Dalam konteks pelaksanaan Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR), guru perlu bersedia dalam memahami lebih jelas mengenai konsep bersepadu dan objektif mata pelajaran.

Pembelajaran secara kontekstual juga boleh digunakan dalam strategi P&P ini. Ia merupakan alternatif bagi menarik lebig banyak minat para pelajar untuk belajar. Pembelajaran kontekstual juga pembelajaran yang menggabungkan standard pembelajaran dengan pengalaman harian individu, masyarakat dan alam pekerjaan. Kaedah ini meyediakan pembelajaran secara konkrit yang melibatkan aktiviti hands-on dan minds-on.

Pendekatan berpusatkan pelajar juga adalah salah satu strategi pengajaran dan pembelajaran yang sangat penting. Ia melibatkan semua kreativiti yang dihasilkan oleh pelajar untuk mengambil pengalaman sedia ada dan mendapatkan pengalaman yang baru daripada konsep yang mendalam. Pengajaran ini bertujuan untuk menarik perhatian pelajar untuk melibatkan diri secara telus dalam pengajaran dan pembelajaran mereka. Guru haruslah mendengar pendapat pelajar dan melibatkan pelajar untuk merancang.

Akhir sekali pengajaran dan pembelajaran secara projek berkumpulan. Pelaksanaan atau strategi ini mungkin baru bagi sesetengah pelajar, tetapi hal ini perlu diterapkan ke dalam jiwa kanak-kanak bermula dari sekarang. Hal ini kerana strategi dan amalan ini akan membuahkan pelbagai idea dari kalangan pelbagai murid kerana mereka mempunyai bakat dan kreativiti yang berlainan. 
  
2.4 Bidang Pelajaran

KSSR membahagikan mata pelajaran kepada tiga modul iaitu Modul Asas Teras, Modul Asas Tema dan Modul Asas Elektif. Tahap satu sekolah rendah iaitu tahun 1 hingga 3 akan tertumpu kepada penguasaan 4M iaitu membacamenulis, mengira dan menaakul. Kemahiran asas teknologi komunikasi dan maklumat (ICT), perkembangan sosioemosi, kerohanian, fizikal, kognitif, sikap dan nilai juga termasuk di dalam penmbelajaran mereka. Sementara tahap dua sekolah rendah iaitu tahun 4 hingga 6 akan tertumpu kepada pengukuhan dan aplikasi 4M iaitu kemahiran asas ICT, perkembangan sosioemosi, kerohanian, fizikal, sikap dan nilai. Kemahiran ini digunakan semasa pembelajaran subjek bahasa dan Matematik. Subjek bahasanya ialah Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris khususnya.

Kurikulum KSSR tersebut telah menggabungkan beberapa subjek menjadi satu dalam Modul Asas Tema seperti Pendidikan Muzik dan Pendidikan Seni diletakkan dibawah satu kelompok iaitu kelompok dunia kesenian. Sebelum itu, Pendidikan Seni ini diubah namanya menjadi Dunia Seni Visual. Manakala Pendidikan Muzik diubah menjadi Dunia Muzik.

Selain itu, KSSR turut memperkenalkan satu subjek baru yang bertema semangat kenegaraan dan patriotik. Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan dapat meningkatkan personaliti baik murid-murid dari segi keterampilan dan mentaliti para pelajar selain dapat menjadikan mereka lebih berdidiplin sejajar dengan matlamat sebenar KSSR iaitu memfokuskan untuk menerapkan nilai-nilai holistik dan kemasyarakatan dalam jiwa murid.

Selain itu, kementerian juga akan memperkenalkan Kurikulum Standard Prasekolah Kebangsaan (KSPK) bagi murid-murid prasekolah berumur lima dan enam tahun seluruh negara. Pada peringkat ini pula, tumpuan akan diberikan kepada perkembangan sosioemosi, kerohanian, fizikal, kognitif, sahsiah, persediaan ke sekolah rendah serta pendedahan awal mengenai kemahiran 4M. KSPK akan memudahkan lagi murid-murid prasekolah ini untuk menyediakan mereka memasuki alam persekolahan selain pendekatan yang lebih mesra dan menarik digunakan bersesuaian dengan peringkat umur kanak-kanak prasekolah. 


Terbaru Lebih lama