REFLEKSI BIG

PENGENALAN

Program Bina Insan Guru (BIG) mula dilaksanakan pada bulan Januari 2001 untuk memenuhi keperluan Latihan Perguruan Pra perkhidmatan. Sukatan pelajaran yang disediakan ini menekankan unsur-unsur hidup bermoral dan beragama sebagai fokus utama dalam proses pembinaan insan guru. Model konseptual Pendidikan Guru yang mengandungi elemen-elemen intelek, jasmani, rohani dan emosi diberi penekanan dalam program ini.

Satu sukatan pelajaran yang standard bagi semua program pra perkhidmatan di Institut Pendidikan Guru (KDPM/KPLI/KPLI-SR/KPLSPM) telah disediakan untuk program ini. Semua pelajar pra perkhidmatan diwajibkan bagi melayakkan mereka ditauliahkan dengan Diploma perguruan Malaysia. Sukatan pelajaran ini mengandungi tiga menu utama iaitu Konsep dan Ciri-Ciri Pembinaan Insan Guru, Pembangunan Insan guru serta Peranan dan Tanggungjawab Insan Guru.

Tujuan utama Program Bina Insan Guru (BIG) diadakan adalah untuk menunjukkan ciri –ciri insan yang berakhlak mulia dan patuh kepada ajaran agama. Meningkatkan semangat berpasukan dan mengamalkan hidup bersepakat, bekerjasama dan bertanggungjawab kepada pasukan. Di samping itu dapat meningkatkan ketahanan fizikal dan mental. Para guru pelatih juga dapat meningkatkan dan menguasai kemahiran interpersonal dan intrapersonal serta perpaduan masyarakat dan meningkatkan kemahiran mengurus diri, kumpulan dan masa dengan berkesan. Akhirnya, dapat meningkatkan pengembangan potensi diri sebagai insan berakhlak mulia melalui amalan refleksi dan penilaian kendiri dalam semua aspek kehidupan seharian.

  REFLEKSI

Bina Insan Guru (BIG) adalah salah satu program wajib yang perlu diikuti oleh setiap penuntut di Institut Pendidikan Guru Malaysia semasa pengajian di institut pendidikan guru Malaysia kampus masing-masing. Ianya bertujuan membina jati diri pelajar yang mantap dari segi jasmani, sahsiah, intelek, sosial dan emosi, dan juga memberi sedikit pendedahan kepada pelajar-pelajar tentang situasi-situasi yang bakal mereka tempuhi pada masa akan datang terutamanya kepada mereka yang ditempatkan di kawasan pedalaman.

Bersyukur kepada Allah S.W.T dengan izin-Nya saya telah berjaya menamatkan salah satu komponen wajib yang mesti dilalui semasa kursus perguruan ini iaitu menjalani program Bina Insan Guru (BIG) pada 27– 29 Oktober 2014, guru pelatih PISMP Ambilan Januari 2013 telah menjalankan program khidmat masyarakat di Felda Soeharto, Kuala Kubu Bharu, Selangor. Saya berasa sangat seronok kerana dapat menjalankan aktiviti bersama guru-guru pelatih yang sungguh kreatif dan bersemangat.


           Dalam membentuk modal insan yang berguna bukanlah sesuatu yang mudah. Oleh itu, setiap bakal guru perlu mengisi sepenuhnya ilmu di dada agar dapat menjalankan tugas seorang pendidik dengan sempurna. Pengalaman juga menekankan menjadikan seorang guru lebih berilmu pengetahuan. Ilmu adalah asas bagi setiap guru bagi melaksanakan aktiviti pengajaran dan pembelajaran. Selain itu, kemahiran-kemahiran seperti kemahiran menyampai (komunikasi) dan pengetahuan terhadap teknologi terkini perlu diperkemas kan lagi. Dengan kata lain, seorang guru perlulah sentiasa ‘up to date’ dengan mengamalkan adab-adab yang terpelihara. Melalui aktiviti khidmat masyarakat yang diadakan telah menyedarkan saya sebagai seorang guru yang perlu menyedari apakah itu tugas sebenar sebagai seorang guru kelas, yang bukan tugasnya hanya meliputi tugas pengajaran dalam kelas sahaja tetapi meliputi segala aspek sama ada luar atau dalam kelas termasuk aspek kebersihan. 

Kami telah dibahagikan beberapa kumpulan untuk melaksanakan aktiviti yang sudah dirancang. Kumpulan saya iaitu rakan sekelas yang terdiri daripada 29 orang telah menjalankan aktiviti sukaneka dan gotong royong mengecat pagar di tadika KEMAS Felda Soeharto. Saya dan beberapa rakan yang lain telah diberi tugas untuk sama-sama bergotong-royong untuk mengecat roda pasu bunga. Dalam aktiviti ini saya sendiri berasa bersemangat untuk menjalankan kerja amal ini beramai-ramai kerana saya yakin bahawa setiap perkara yang dilakukan beramai-ramai akan memberi banyak faedah kepada semua orang. Ketika menjalankan aktiviti ini, saya dapat merasakan bahasa sikap bekerjasama amatlah penting dalam masyarakat untuk menjayakan sesuatu tugasan yang banyak di kawasan yang agak luas. Jika dilaksanakan sendirian, tugasan boleh disiapkan tetapi akan memakan masa yang agak lama.

Sesungguhnya program BIG ini telah meninggalkan kesan yang agak mendalam terhadap diri saya. Sebabnya ialah saya berpeluang menjalankan tugasan dalam suasana yang menyeronokkan bersama-sama rakan. Selain itu, saya juga dapat merasai kepuasan dari segi hasil usaha gotong-royong yang mendatangkan faedah kepada semua pelajar IPG Kampus Ilmu Khas. Saya bangga kerana disebabkan usaha kami, kawasan tadika tersebut, yang kumpulan kami usahakan dapat diceriakan dalam masa tersebut. Saya percaya semua warga kampus juga pastinya berasa gembira kerana usaha kami untuk membersihkan kawasan-kawasan yang kami bersihkan dan ceriakan.

Selain daripada itu saya juga turut berpeluang untuk mendekati murid yang menghadapi masalah autisme. Walaupun murid ini kelihatan normal tetapi dia agak berbeza dengan murid-murid lain. Setelah berborak dengan guru-gurunya saya mendapati bahawa kanak-kanak ini tidak bergaul dan tidak bercakap malahan tidak fokus apabila di dalam kelas. Mungkin agak kekok bagi saya mendekati murid ini pada kali pertamanya, kerana dia menolak dan menjauhkan diri. Namun lama kelamaan dia boleh menerima kehadiran saya dan turut melibatkan aktiviti sukaneka.

Maka kesimpulan yang boleh dibuat ialah semangat bergotong-royong amat penting dalam kehidupan seharian kita untuk memudahkan sesuatu pekerjaan. Oleh itu kita sebagai sebahagian daripada anggota masyarakat hendaklah menyertai sebarang kegiatan gotong-royong yang diadakan di kawasan tempat tinggal untuk memantapkan lagi hubungan sesama manusia. Kita akan berpeluang untuk mengenali orang ramai yang sama-sama menyertai program yang dijalankan.


Terbaru Lebih lama