Pengucapan Awam



Perpaduan dalam Kalangan Warga Felda
Oleh Noor Afifah Azizan

Bersyukur kita pada hari yang mulia ini kerana dapat berhimpun dalam Majlis Sambutan Hari Pekerja Syarikat Felda bagi tahun 2012 ini. Di kesempatan ini, saya merakamkan jutaan terima kasih atas peluang yang diberikan. Majlis ini amat bermakna kerana ianya membuktikan bahawa bukan sahaja wujud perpaduan di kalangan para majikan dan kakitangan malahan penduduk setempat. Perpaduan dan kerjasama inilah yang telah memberi kejayaan bagi negara kita. Selamat pagi dan salam perpaduan.

Tuan-tuan dan puan-puan sekalian,

Tanah rancangan FELDA yang pertama dibuka pada tahun 1958, iaitu di Lembah Bilut, Bentong, Pahang, dengan peneroka seramai kira-kira 400 orang.  Dalam keadaan pembangunan negara kini, perpaduan iamat diperlukan untuk menyemai nilai murni membantu di antara kaum yang tinggal di negara ini terutamanya di kawasan felda yang diduduki oleh masyarakat berbilang kaum yang kebanyakannya bekerja sebagai kakitangan dan penduduk setempat . Perpaduan erat yang dibina sejak sekian lamanya di antara kita, di mana kita mengamalkan sikap saling menghormati adat-resam dan budaya serta agama pelbagai kaum di kawasan FELDA ini telah membantu kita dalam memelihara keamanan negara seterusnya mencapai kestabilan dan kemajuan ekonomi dan politik.

Sebagai sebuah komuniti yang berbilang kaum, komuniti kita dianggap sebagai sebuah komuniti yang paling unik kerana masih mampu mengekalkan keamanan dan kestabilan politik. Kita dipandang sebagai komuiti yang berpotensi dalam menjana kemajuan ekonomi dan pendidikan. Sebagai contoh, kita mampu menjana perkembangan ekonomi dari usaha masyarakat setempat yang membuat produk kecil-kecilan seperti membuat makanan tradisional masyarakat malaysia yang unik ke arah memperkenalkan Malaysia di mata dunia. Selain daripada itu, negara kita mampu menghasilkan generasi muda yang inovatif  melalui penyelidikan berterusan terutama dalam bidang pertanian dan Bioteknologi yang mampu bersaing ke peringkat Antarabangsa dalam bidang pendidikan dan kemahiran tanpa mengira bangsa dan kaum.

Hadirin-hadirat yang dihormati sekalian,

Peristiwa 13 Mei 1969, adalah satu titik hitam dalam sejarah negara. Keadaan ekonomi yang merundum dan pertelagahan kaum menjadi pengajaran dan titik tolak kepada negara untuk bangun semula. Dengan itu, berbagai-bagai Program Perpaduan telah dilaksanakan dalam mendidik generasi yang cintakan perpaduan dan keamanan. Anak-anak dipupuk dalam semua aspek kehidupan yang melibatkan pergaulan dan komunikasi, aktiviti serta kegiatan sukan serta aktiviti luar dan sebagainya. Masyarakat setempat akan sentiasa memastikan keamanan dan perpaduan yang dinikmati pada hari ini akan berkekalan untuk diwariskan kepada generasi akan datang.

Program-program Integrasi kaum di peringkat komuniti dirancang dengan begitu bersungguh. FELDA sanggup berbelanja dan mengeluarkan sejumlah besar peruntukan untuk menjayakan program ini. Ianya bertujuan memastikan matlamat keamanan sejagat dan perpaduan dapat dikekalkan bagi menjamin kemajuan ekonomi dan kestabilan politik dicapai. Lantaran itu, menjadi tanggungjawab semua pihak memainkan peranan dalam memelihara keamanan ini. Perubahan minda yang positif perlu ada ke arah pembinaan masyarakat dan negara yang dinamik . Oleh itu program yang dilaksana FELDA ini diharap dapat menjadi peneraju ke arah hasrat dan cita-cita kita bersama memacu negara Malaysia tercinta ke era lebih gemilang .
Hadirin-hadirat yang dihormati sekalian,

Dikesempatan ini juga saya ingin merakamkan ucapan terima kasih dan setinggi penghargaan kepada pihak syarikat kerana mengadakan majlis ini. Untuk akhirnya, dengan sukacita saya menamatkan ucapan saya pada kali ini dengan serangkap pantun.
 Cantik bergugus buah papaya,
                   Masak dipetik satu per satu;
         Walaupun berlainan bangsa budaya,
                   Kerana muhibah hidup bersatu.
Sekian, terima kasih.


Terbaru Lebih lama