TEKS UCAPAN PERASMIAN BULAN MEMBACA 2020
(Guru Besar- Tuan Haji Rahmat bin Musman)
Selamat
pagi dan salam sejahtera diucapkan
kepada
Yang dihormati, Encik Muhadzir bin Esmahil,
Guru Penolong Kanan
Pentadbiran,
Yang dihormati, Puan Zummazuwen binti Kader,
Guru Penolong Kanan Hal
Ehwal Murid,
Yang dihormati Tuan Haji Rozli bin Omar,
Guru Penolong Kanan
Kokurikulum,
Yang dikasihi barisan guru dan murid sekalian.
Terlebih dahulu
saya ingin mengucapkan terima kasih kerana diberikan penghormatan untuk
bersama-sama murid dan guru-guru pada pagi ini untuk menyempurnakan majlis
pelancaran NILAM peringkat sekolah 2020 bertemakan Malaysia Negara Membaca.
Murid
dan guru-guru sekalian,
Membaca adalah asas kepada kecemerlangan seseorang individu. Tabiat
membaca perlu disemai dalam diri setiap insan sejak di bangku sekolah lagi.
Melalui kesedaran tersebut, Kementerian Pelajaran Malaysia telah mewujudkan
Program Nilam di sekolah bertujuan untuk membina tabiat membaca dalam kalangan
murid dengan hasrat mewujudkan masyarakat yang cinta kepada budaya membaca dan
budaya ilmu.
Untuk
pengetahuan semua,
NILAM merupakan akronim daripada perkataan Nadi Ilmu Amalan Membaca.
Program Nilam merupakan penggabungan atau adunan semua aktiviti galakan membaca
yang pernah dijalankan di sekolah di seluruh negara. Program NILAM telah mula
dilaksanakan pada tahun 1999. Pelaksanaan Program NILAM ini dimulakan hasil
daripada keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Induk Gerakan Tabiat Membaca peringkat
Kementerian Pelajaran Malaysia pada tahun 1998. Program ini dilaksanakan
bermula dengan murid Tahun Satu bagi sekolah rendah dan Tingkatan Satu atau
Peralihan bagi sekolah menengah dan rekod pembacaan murid-murid ini diteruskan
sehingga murid tamat persekolahan.
Objektif
program nilam ialah:
*menjadikan
murid banyak membaca
*menggalakkan
sekolah terus menjana idea kreatif dan inovatif bagi menyemai tabiat membaca
ini.
Pengiktirafan dan ganjaran akan diberikan di sekolah dan semua peringkat
Kementerian Pelajaran kepada murid yang telah banyak membaca dan berusaha
mengisi rekod bacaan mereka mengikut sistem ganjaran dan pengiktirafan NILAM.
Ganjaran dan pengiktirafan NILAM akan diberikan dalam bentuk buku sebagai
hadiah, sijil pengiktirafan NILAM, menyatakan bilangan buku yang dibaca dalam
rekod kemajuan murid dan sijil berhenti sekolah. Akhir sekali, Nilam juga akan
diambil kira untuk markah PAJSK.
Pengiktirafan dan
ganjaran nilam telah ditambahbaik oleh Kementerian Pelajaran Malaysia.
Pengiktirafan nilam bukan lagi tertumpu kepada bilangan buku yang dibaca.
Tetapi mata ganjaran yang diberikan berdasarkan bilangan muka surat yang dibaca
dan jenis bahan bacaan yang dibaca oleh murid. Pengiktirafan NILAM dikira dalam
bentuk bintang iaitu sehingga 5 bintang.
Salah satu
penekanan Wawasan 2020 ialah untuk membangun Malaysia sebagai sebuah negara
yang kaya maklumat dan mempunyai ekonomi berasaskan ilmu pengetahuan. Justeru
itu, saya sangat berharap murid-murid dan guru-guru SK Tanjung Sepat dapat
menanamkan minat membaca dalam diri masing-masing.
Saya menyeru kepada semua murid dan guru-guru untuk berkunjung ke perpustakaan dan menyertai
program-program dan aktiviti yang dirancang. Selain daripada itu, gunakanlah
kemudahan-kemudahan yang disediakan oleh perpustakaan dengan sebaik mungkin
dalam menimba ilmu-ilmu yang baru.
Sebelum mengakhiri ucapan ini saya ingi mengucapkan syabas kepada
Jawatankuasa NILAM 2020 serta semua yang telah terlibat dalam menjayakan
program ini. Tanpa dedikasi dan keringat yang telah anda curahkan kejayaan pada
hari ini tentu sekali sukar untuk kita perolehi.
Dengan ini, saya dengan sukacita dan bangganya merasmikan
Program NILAM Peringkat
Sekolah Kebangsaan Tanjung Sepat pada tahun 2020.
Sekian, terima
kasih.