Laporan penilaian kendiri


LAPORAN PENILAIAN KENDIRI


Setelah melalui aktiviti pelaksanaan P&P yang dijalankan, di sini saya ingin membuat banding beza yang melibatkan aktiviti pengajaran, pengaplikasian model, teori, pendekatan, strategi, teknik, aktiviti dan keberkesanan P&P saya sendiri dan rakan saya yang lain.
            Saya memilih untuk menjalankan P&P bagi matapelajaran pendidikan seni visual untuk murid tahun 4. Saya menfokuskan kepada bidang mengenal kraf tradisional yang bertajuk “Gasing Buatan”. Dalam pelaksanaan P&P ini saya melaksanakan bahagian langkah penghasilan gasing. Dalam pengajaran ini saya mengaplikasikan model behavioral iaitu mengfokuskan kepada pembelajaran masteri (mastery learning) yang berasaskan daripada eksperimen pelaziman klasik Pavlov, pembelajaran berasaskan ganjaran Thorndike dan kajian Watson. Dalam model ini saya mahukan semua murid mencapai objektif yang dimahukan dalam masa yang diperuntukkan. Malah, pembelajaran masteri dalam model ini mempunyai prinsip bahawa semua murid normal boleh menguasai apa yang diajar oleh guru dan saya dapat lihat keberhasilan itu sendiri semasa proses P&P saya. Berbanding pula rakan-rakan saya yang lain, sesetengahnya mengaplikasikan model sosial dimana model ini juga terkandung pembelajaran koperatif, main peranan dan simulasi. model yang saya gunakan lebih melibatkan tahap individual murid itu sendiri tetapi berbeza sedikit dengan model sosial ini yang melibatkan aktiviti murid secara berkumpulan dan berlaku interaksi dua hala. Contohnya dapat saya lihat, rakan saya menggunakan simulasi iaitu murid itu sendiri berinteraksi sesama sendiri berdasarkan peranan yang telah diberikan untuk mencapai objektif yang dimahukan.
Seterusnya, teori yang saya gunakan dalam aktiviti P&P ini jelas sekali adalah teori pembelajaran sosial oleh Albert Bandura. Dalam aktiviti pengajaran saya teori ini menjelaskan perilaku murid-murid melalui beberapa cara peniruan yang ada dalam teori Albert Bandura ini. Kebanyakan murid-murid menggunakan cara peniruan secara langsung dimana terjadi apabila murid-murid ini melihat cara saya di hadapan melakukan penghasilan membuat gasing buatan dan meniru cara tersebut untuk menghasilkan gasing buatan yang boleh berputar. Dalam teori ini saya membuat demonstrasi supaya murid dapat menirunya dengan cepat dan baik. Saya juga memaparkan hasil yang telah saya lakukan dan membuat perbandingan dari hasil yang baik dan lebih baik supaya murid itu sendiri dapat berusaha menghasilkan mana yang terbaik. Jadi, interaksi antara murid dan guru sendiri berjaya hanya berlaku melalui pemerhatian dan peniruan menggunakan model sebenar iaitu gasing buatan. Teori pembelajaran sosial saya pilih untuk aktiviti P&P saya manakala ada rakan saya yang lain menggunakan teori pelaziman operan E.L Thorndike yang mempunyai tiga hukum pembelajaran antaranya termasuklah hukum kesan, hukum latihan dan hukum kesediaan. Kebanyakan rakan saya menggunakan hukum latihan di mana murid belajar melalui proses membuat dan mengulang semula apa yang dipelajari. Murid itu sendiri belajar melalui pelbagai bentuk latihan yang diberi dan latihtubi serta mengaplikasikan semula kemahiran dengan lebih kerap supaya penghasilan pembelajaran murid dapat dicapai. Hal ini sangat berbeza dengan teori yang saya gunakan tadi. Kedua-duanya boleh mencapai kehendak objektif pembelajaran
Kemudian, dari segi pendekatan yang saya gunakan untuk murid-murid ini ialah pendekatan integratif yang melibatkan penggabungjalinan dan penyerapan. Berdasarkan langkah P&P, saya menggabungkan beberapa kemahiran dalam melaksanakan aktiviti membuat gasing buatan tersebut. kemahiran dalam menggunting, melukis dan juga mewarna digabungkan dalam proses penghasilan gasing ini supaya murid-murid mencapai tahap fleksibel murid-murid dalam mengorganisasikan kemahiran yang mereka ada dan baru dipelajari. Manakala, bagi penyerapan pula melibatkan penerapan isi kandungan daripada dua atau lebih mata pelajaran dalam sesuatu pelajaran. Dalam pembelajaran matapelajaran pendidikan seni visual ini, saya juga menyerapkan isi kandungan mata pelajaran sains dan matematik. Penyerapan ini dapat menambahkan pengetahuan murid dalam meluaskan pemikiran mereka supaya tidak tersekat dalam satu ruang pembelajaran sahaja. Namun, berbeza pula dengan sekumpulan rakan saya lain yang mengfokuskan kepada pendekatan pengajran tematik. Pendekatan ini lebih melibatkan satu topik atau tema utama. Tema utama ini dipecahkan kepada beberapa sub-topik untuk dibincangkan bersama kumpulan. Pendekatan ini lebih membentuk kumpulan murid-murid supaya dapat bersama-sama membuat rumusan melalui pokok perbicaraan yang diberi oleh guru. Pendekatan ini juga tidak melibatkan aspek penggabungjalinan unsur lain dan kemahiran lain yang mahu ditonjolkan.
Aspek yang seterusnya ialah perbandingan strategi yang saya gunakan dengan rakan saya yang lain. Strategi yang saya gunakan untuk P&P saya ialah strategi pemusatan aktiviti atau tugasan. Strategi ini melibatkan murid dalam aktiviti atau tugasan yang memberikan peluang kepada murid untuk berlatih dan mengaplikasikan apa yang telah dipelajari. Malah, strategi ini juga menfokuskan kepada maklumat utama topik yang ingin diajar. Semasa saya melaksanakan aktiviti ini, saya akan memantau kemajuan dan menyediakan bantuan jika mereka perlu. Di sini saya dapat memastikan aktiviti ini berjaya dijalankan oleh murid tersebut. Tambahan pula, tugasan yang mereka lakukan mestilah disusuli dengan refleksi atau apresiasi seni supaya saya sendiri dapat menyemak dan memberi maklum balas tentang keberhasilan aktiviti yang mereka jalankan. Lain pula rakan saya yang lain yang saya nilai kebanyakannya menggunakan strategi pemustan murid terutama bagi subjek bahasa Melayu. Strategi ini berbeza sekali dengan streatgi yang saya gunakan. Strategi ini mementingkan peranan murid itu sendiri dan berlaku komunikasi dua hala antara guru dan murid. P&P yang dijalankan mengutamakan objektif pencapaian murid itu sendiri dan ujian formatif kebiasaannya dilakukan bagi menguji dan membaiki kelemahan murid.
Seterusnya teknik dan keberkesanan P&P yang telah dijalankan oleh saya dan rakan-rakan saya yang lain. Dalam P&P pendidikan Seni Visual ini saya lebih berminat untuk menggunakan teknik demosntrasi dan beberapa soal jawab. Demonstrasi ini jelas melalui teori pembelajaran sosial yang melibatkan peniruan hasil daripada perlakuan guru. Saya memilih teknik ini untuk melatih murid memerhati dan melakukan sesuatu aktiviti mengikut prosedur yang ditetapkan. Teknik ini juga bertujuan memberi peluang kepada murid agar benar-benar memahami perkara yang hendak dipelajari melalui prosedur yang ditunjukkan serta dapat meningkatkan ingatan murid terhadap sesuatu perkara. Saya merasakan setelah menjalankan teknik ini, objektif yang saya mahukan tercapai dan berjaya dilakukan oleh murid-murid. Malah, dapat melihat nilai kepatuahn pada arahan dalam diri murid itu sendiri. Teknik rakan saya yang lain berbeza pula caranya dengan saya terutama rakan saya yang melaksanakan proses P&P untuk matapelajaran selain pendidikan Seni Visual. Rakan saya yang lain ada yang menggunakan teknik perbincangan dalam subjek bahasa Melayu. Teknik ini merupakan satu proses yang aktif melibatkan guru dan murid. Melalui pemerhatian saya semasa menilai sendiri, saya melihat teknik ini bukan sahaj perbincangan semata-mata teapi juga meransang interaksi antara murid-murid secara bermakna tetapi menggalakkan pelbagai pembelajaran merangkumi kemahiran komunikasi, sikap murid dan perjalanan proses P&P itu sendiri. Dalam teknik ini lebih menggalakkan murid menguasai kemahiran komunikasi dan proses pemikiran murid berbanding dengan teknik yang saya gunakan lebih kepada kefahaman murid dan proses mengingat semula pengajaran guru tersebut.
Melalui keberkesanan P&P jelas masing-masing mempunyai cara dan teknik yang tersendiri dalam mencapai objektif P&P mereka. Saya merasakan aktiviti P&P saya bersama dua orang rakan saya yang lain dengan kumpulan rakan lain mempunyai kelebihan dan kelemahan masing-masing. Kelebihan kumpulan saya dengan kumpulan rakan saya yang lain adalah dari segi daya tarikan murid-murid terhadap aktiviti yang dijalankan. Kami menunjukkan apa yang akan dipelajari oleh murid-murid sebelum memulakan P&P dan menggunakan aktiviti yang melibatkan penampakan hasil. Saya juga turut memainkan gasing yang kami akan ajar supaya murid lebih fokus dan semangat untuk melakukannya. Murid-murid lebih berminat jika dapat mengetahui sesuatu yang baru dan dapat menghasilkannya serta mengaplikasikannya. Kumpulan rakan saya yang lain ada yang lebih terus melakukan aktiviti P&P yang hanya melibatkan perbincangan. Hal ini akan membuatkan murid yang tidak berminat dalam subjek tersebut berasa tidak semangat dan bosan. Selain itu, kelebihan yang lain adalah pertunjukan video untuk memberi gambaran kepada murid-murid. Bahan bantu mengajar secara interaktif ini dapat menarik minat murid melalui pendekatan  video yang mempunyai gambar yang menarik dan lagu pada video itu. Malah, pemberian ganjaran juga antara kelebihan dalam kumpulan kami untuk melihat kepekaan murid dan menaikkan semangat dalam melaksanakan aktiviti P&P. pemberian ganjaran ini tidak melibatkan modal yang besar jika guru itu kreatif untuk menggunakan bahan yang boleh digunakan semula dan dihiaskan seperti penanda buku ataupun pelekat kartun yang menarik. Ada setengah kumpulan tidak dapat menarik minat murid sehingga habis proses P&P kerana murid tidak diberi semangat dan guru tidak ada daya penarik bukan sahaja dari segi penyampaian tetapi melalui bahan bantu mengajar.
Namun di sebalik kelebihan yang ada terdapat juga beberapa kelemahan pelaksanaan P&P kumpulan saya yang telah saya sendiri kenal pasti. Antara kelemahan kami berbanding kumpulan lain ialah kurang bahan bantu mengajar dalam setiap langkah pengajaran. Kami membahagikan kepada tiga bahagian tetapi pada bahagian penutup P&P tiada bahan bantu mengajar untuk murid dan hanya melibatkan soal jawab. Ini dapat dilihat pada respon murid yang agak kurang aktif. Jika dilihat pada kumpulan lain yang mempelbagaikan bahan bantu mengajar dan pendekatan yang digunakan juga berbeza. Hal ini dapat memberi suasana yang berbeza dan semakin menarik untuk murid melibatkan diri dalam aktiviti P&P.  kemudian, kelemahan yang lain adalah dari saya sendiri iaitu kurangnya rasa yakin dalam penyampaian. Keyakinan ini akan menampakkan tahap ketidaksediaan saya dan kumpulan saya sendiri untuk melakukan aktiviti P&P ini. Hal ini kerana terlalu gemuruh untuk berhadapan dengan murid dan saya telah belajar sediki sebanyak untuk mengatasinya melalui pemikiran yang positif sebelum memulakan sesuatu P&P supaya murid yakin dengan gurunya sendiri.
Di sini saya juga ingin mencadangkan beberapa pendapat untuk memperbaiki dan menambahbaikan proses pengajaran dan pembelajaran kumpulan saya sendiri. Beberapa aspek yang dapat saya kenal pasti adalah menvariasikan cara penyampaian pengajaran kepada murid supaya murid berminat untuk berinteraksi dengan guru dan menambahkan keceriaan dalam suasana P&P. Penyampaian guru perlu mempunyai nada dan intonasi yang sesuai dengan keadaan supaya suasana P&P tidak kelihatan hambar. Selain itu juga, mempelbagaikan kaedah bahan bantu mengajar. Bermula dari set induksi sehinggalah kepada penutup, murid didedahkan dengan pelbagai bahan bantu mengajar yang dapat mengukuhkan lagi pemahaman murid dan mencapai objektif pembelajaran dan pengajaran dengan berkesan. Malah, sebagai seorang guru, pemikiran yang kreatif dan kritis mampu meningkatkan prestasi pembelajaran murid-murid dan dapat mencapai hasrat Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang telah termaktub.

RUJUKAN


Mohd Fuad Sam, Marina Majid, Afrah Salwani Jusoh dan Mohd Zain Kosnon (2013). Murid dan Alam Belajar. Puchong, Selangor : Penerbitan Multimedia Sdn. Bhd.

Terbaru Lebih lama